Buletin

RENAULT DAN NISSAN MASIH BELUM CAPAI KATA SEPAKAT – DAH HUJUNG TAHUN DAH NI!

Nissan Motor Co Ltd menjangkakan tiada kata sepakat dengan pemegang saham utama Renault sehingga hujung tahun ini. Hal tersebut berlaku kerana beberapa ahli Lembaga pembuat kereta Jepun itu mendesak supaya berhati-hati.

Sebelum ini, jangkaan tempoh perbincangan mengambil masa dua bulan, namun kini, berada di penghujung tahun 2022, ia masih belum mencapai sebarang persetujuan.

Kelewatan itu berlaku kerana beberapa ahli lembaga Nissan amat mengambil berat tentang pemindahan harta intelek.

Reuters melaporkan bulan ini bahawa kedua-dua pembuat kereta itu akan menangguhkan pengumuman mengenai perjanjian berkenaan pada 7 Disember kerana mereka bergelut untuk mencari kesepakatan, meskipun Renault nampak lebih berminat untuk memeterai perjanjian.

Renault SA Perancis mahu Nissan melabur dalam unit kenderaan elektrik baharu, Ampere. Manakala Nissan pula meminta Renault menjual sebahagian daripada kira-kira 43 peratus kepentingannya dalam Nissan untuk meletakkan kedua-dua pembuat kereta itu pada kedudukan yang sama rata.

Bagi Renault, sebarang kelewatan dalam perbincangan dengan Nissan berisiko memperlahankan jadual waktu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Luca de Meo untuk membentang unjuran kewangan seperti yang telah dijanjikan kepada pelabur.

Pelan menyeluruhnya termasuklah perjanjian berasingan bersama Geely Automobile Holdings Ltd China untuk menjalankan perniagaan enjin petrol Renault.

Selain itu, Renault turut merancang untuk memisahkan syarikat kepada lima perniagaan, mengeratkan hubungan dengan Geely serta bekerjasama dengan rakan kongsi yang pelbagai seperti Airbus pada bateri dan Google dalam reka bentuk serta pembangunan produk.

Google ads
Back to top button