Buletin

PERODUA D55L DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. 3 VARIAN, 1.0L TURBO, ASA 3.0. BERMULA RM62,500!

Berita baik untuk semua yang menunggu model SUV terkini Perodua. Ini kerana kebanyakan salesmen sudah pun menulis status di laman web masing-masing bahawa tempahan untuk model itu sudahpun dibuka.

Nama untuk model yang dibina di atas platform Daihatsu Rocky dan Toyota Raize itu bagaimanapun masih belum diumumkan. Namun, apa yang pasti ialah jentera berkenaan akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV.

Memetik laporan Paultan.org, harga yang ditawarkan juga sangat menarik iaitu sekitar RM62,500 hingga RM73,400 (di atas jalan, tidak termasuk insurans).

D55L menjadi model pertama Perodua yang dipasang dengan enjin turbo bersesaran 1.0L. Enjin dengan kod 1KR-VET itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 98 PS pada 6,000rpm dan tork 140Nm bermula pada 2,400 hingg 4,000rpm.  

Ia merupakan enjin sama yang digunakan pada Axia dan Bezza, tetapi didatangkan dengan sistem turbo. Enjin itu juga didatangkan dengan ciri start/stop atau dikenali sebagai oleh Eco Idle.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang menjanjikan penjimatan bahan api dan pemanduan menyeronokkan. Perodua mendakwa rangkaian kuasa itu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 18.9 km/l.

Jika Myvi dilengkapi dengan sistem keselamatan Advanced Safety Assist (ASA pada tahun 2017 dan Aruz dengan ASA 2.0, D55L lebih canggih lagi. Ini kerana SUV itu bakal dipasang dengan ASA 3.0 pula.

ASA 3.0 dijangka ditawarkan pada varian tertinggi. Tetapi ASA dikatakan akan dipasang pada dua lagi varian sebagai ciri standard. Ia didakwa mampu beroperasi pada tahap kelajuan lebih tinggi dan berupaya mengesan motosikal dan basikal, selain pejalan kaki.

Ciri-ciri lain yang ada pada semua varian ialah Lane Departure Warning dan Prevention. Manakala varian AV menerima sistem Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert and Adaptive Cruise Control.

Disebabkan ciri-ciri tersebut, Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Peh, memang canggih sangat untuk sebuah model yang ditawarkan pada harga bawah RM75,000.

Dibangunkan di atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), SUV kompak itu dilihat bakal menjadi pesaing paling sengit dalam segmennya.

Lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sentuh 9-inci dengan ciri pengecaman suara.

“Memandangkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka berakhir pada Jun, jangan tunggu lagi untuk menempah.

“Penasihat jualan kami yang sah bersedia membantu anda dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perodua D55L di semua pusat
jualan di seluruh negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue. Varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Tiga warna terakhir adalah baharu buat Perodua.

Varian AV pula boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbun hitam. Waranti lima tahun/150,000 km ditawarkan.

Sangat menarik ok!  

Google ads
Back to top button