D55L KONFEM TAK LANCAR TAHUN INI – BOS PERODUA
Perodua mengesahkan bahawa ia tidak akan memperkenalkan SUV kompaknya, D55L pada tahun ini.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media di MARii baru-baru ini.
Dalam sidang media tersebut, Zainal ditanya mengenai kesan wabak COVID-19 terhadap baharu Perodua, terutama SUV D55L.
Bercanggah dengan beberapa laporan terdahulu, Perodua sebenarnya tidak pernah merancang untuk melancarkan D55L ke pasaran tempatan pada tahun ini.
“Saya tidak dapat memberitahu bila. Dalam pelan asal pun, SUV tersebut memang tidak akan dilancarkan pada tahun ini.
“Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, kami harus menilai kembali perancangan asal, dan buat masa ini, kami tidak akan melancarkan model baharu dalam tempoh terdekat,” ujar beliau lagi.
Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan bahawa jentera tersebut bakal diperkenalkan pada separuh kedua 2020.
SUV segmen A itu sememangnya menjadi model paling ditunggu-tunggu oleh pengguna di Malaysia. Menggantikan SUV kompak Perodua sebelum ini iaitu Kembara, D55L merupakan model kembar kepada Toyota Raize dan Daihatsu Rocky.
Dibina di atas platform DNGA, Raize/Rocky di pasaran Jepun dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo menghasilkan 97hp dan 140Nm.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear D-CVT yang menawarakan penggunaan bahan api hanya 5.4 liter/100km.
Dalam perkembangan berasingan, Zainal mengakui pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini sangat membantu meningkatkan jualan kereta Perodua.
Hasilnya, kilang Perodua di Rawang perlu beroperasi pada kadar 98-99 peratus berbanding kapasiti asal dengan pengeluaran sekitar 25,000 unit sebulan. Buat masa sekarang, tempoh menunggu adalah lebih dua bulan. – Careta krdit foto: The Ajerul