Buletin

PESAWAT RINGAN TERHEMPAS, JURUTERBANG PUN MABUK

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pesawat terhempas berdekatan South Bend Motor Speedway, Indiana, Amerika Syarikat (AS).

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4 petang itu, pesawat ringan berwarna merah terbabit terhempas dan berhenti di laluan masuk Heather Ridge, Isnin lalu.

Menurut kenyataan, polis daerah St. Joseph, juruterbang pesawat tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

Seorang penduduk Doug Cunningham berkata dia dan isterinya berada di belakang rumah apabila terdengar bunyi kuat.

“Pada mulanya, saya sangka ia kemalangan kenderaan dan berlari di hadapan rumah untuk menyiasat.

“Bagaimanapun, apabila berada di lokasi kemalangan saya mendapati terdapat pesawat ringan terhempas pada papan tanda,” katanya.

Dia menjelaskan juruterbang kelihatan sedang berjalan-jalan melihat keadaan sekitar.

Bahkan, Doug Cunningham memberitahu, juruterbang meminta supaya tidak menghubungi pihak berkuasa.

“Pesawat ringan terhempas berdekatan rumah, mana mungkin saya tidak menghubungi pihak berkuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak polis berkata, juruterbang berusia 61 tahun dari Mill Creek gagal dalam ujian sobriety dan ditahan berikutan mengendalikan pesawat dalam keadaan mabuk. –jalopnik/southbendtribune

Google ads
Back to top button