BuletinPandu Uji

PANDU UJI: LEXUS LM350. SEBAB ANDA MAMPU BELI, BUKAN BAIK BELI

Saya tekun mendengar Abam Japar berceloteh berkenaan dengan sikap orang yang memang banyak duit, bukannya acah – acah banyak duit dengan buat demo tabur duit. Atau duduk berdiri atas kereta mewah terpakai yang dibeli secara hutang. Golongan elit ini tahu segala-galanya tentang kereta.

Mereka tahu ada jenama lain, mereka tahu kelemahan Lexus dan kelebihan jenama Lexus. Tapi mereka akan tetap beli Lexus untuk kegunaan mereka. Bayangkan mereka boleh saja hadiahkan Lexus UX untuk ibu bapa mereka dengan selamba. Lexus yang mereka beli pula bukan dipandu sendiri, tapi dipandu oleh pemandu peribadi.

Silap haribulan, gaji pemandu mereka lebih daripada gaji kebanyakan eksekutif yang baru mula bekerja. Silap haribulan juga, urusan pandu uji Lexus semuanya dibuat oleh pemandu mereka. Kalau pemandu mereka suka, barulah mereka akan beli. Yang pasti mereka bukan beli macam kebanyakan orang yang menggunakan pinjaman tarik 9 tahun.

Ini realiti yang kita susah untuk faham dan hadam. Masakan tidak setakat ini sudah 24 unit Lexus LM350 yang berharga RM 1,106,513.00 telah terjual semenjak ia dilancarkan. Golongan ini bukannya golongan yang meratib “baik beli – baik beli” kerana mereka tahu apa yang mereka cari iaitu “pengalaman pemilikan kenderaan jenama Lexus yang super ekslusif”.

Dari segi luaran, Lexus LM350 yang merupakan singkatan kepada Luxury Mover ini mungkin memiliki rekaan profail luaran sama seperti Toyota Alphard generasi ketiga (AH30). Tapi Lexus mengenakan rekaan yang berbeza pada bahagian depan dengan menggunakan jeriji Spindle Grille yang unik sama seperti model Lexus yang lain

Lampu depan juga menggunakan rekaan berbeza dengan menggunakan teknologi Matrix LED 3 mentol lengkap dengan lampu DRL dengan bentuk L yang menjadi identiti Lexus. Bahagian sisi pula diberi kemasan krom di bahagian bawah dan juga rim hyperchrome dengan kemasan metalik berkilat bagi membezakan LM350 dengan model Toyota dengan teknologi pengurangan bunyi

Rekaan belakang pula diberikan lampu belakang LED yang berbentuk sayap merentangi bahagian belakang LM350 dan juga lampu kabus belakang. Jika anda parkir LM 350 sebelah menyebelah dengan Vellfire/Alphard maka anda akan nampak perbezaan rekaan LM 350 yang lebih menonjol.

Masuk pula di bahagian pemandu, perbezaan utama yang diberikan ialah “touch pad” yang menjadi identiti kenderaan Lexus diposisikan antara kusyen pemandu dan penumpang depan. Floating skrin dengan teknologi Electro Multi Vision sebesar 12.3 inci ini mungkin paling besar yang pernah dipasang untuk Lexus.

Faktor ergonomik sangat dititikberatkan walaupun ruang depan hanya khusus untuk pemandu. Semua butang-butang penting wujud secara fizikal terutama butang untuk ciri keselamatan seperti sistem pemanduan Adaptif, Lampu matrik LED adaptif, Lane Keeping System, butang kamera 360 darjah dan segala butang yang penting berada di lokasi yang senang dicapai

Butang-butang khas untuk melayani penumpang VIP di belakang diposisikan di bahagian atas dengan butang kawalan pintu gelongsor elektrik automatik di bahagian sisi, pintu ruang kargo yang boleh memuatkan beg kayu golf, membuka “moonroof” dan mengawal pencahayaan di bahagian belakang.

Lexus LM 350 dikuasakan dengan enjin 3500cc V6 dengan kod 2GR-FKS. Ia merupakan enjin yang telah dimodenkan, menerima sistem suntikan bahan api berkembar D-4S, menggunakan sistem pemasaan injap VVT-iW di bahagian injap kemasukan dan VVT-i di bahagian injap ekzos. Ia menghasilkan 296 kuasa kuda dan 361Nm tork nampak biasa biasa sahaja

Ta[i bila digandingkan dengan transmisi 8 kelajuan dari unit UA80E, gabungan enjin dan transmisi ini bekerja dengan cukup harmoni. Pecutan yang dihasilkan cukup untuk memacu LM350 ke depan dengan tangkas, sangat bersahaja pada halaju tinggi dengan 2000RPM ketika halaju mencecah 140km/j, dan berupaya memecut dari 140-180km/j dalam 2 saat sahaja

Eh mmacam laju sangat pulak, mungkin 3 4 saat saja. Tapi tapi yang penting enjin 3500cc ini cukup bertenaga

Satu perkara lagi yang mengagumkan berkenaan enjin ini ialah penggunaan petrol yang boleh dikatakan agak jimat, walaupun pemilik kenderaan sebenarnya tidak kisah langsung. Mungkin pemandu akan memegang kad kredit bos mereka bagi mengisi bahan api. LM 350 mencatatkan bacaan sekitar 12.34km/liter petrol jika dipandu dalam halaju sekitar 80-90km/j

Malah jika dipandu pada halaju malar 120km/jam ia masih berupaya mencatatkan bacaan 11.7km per liter petrol. Bacaan ini sangat bagus memandangkan ia datang dari unit 3500cc V6. Jauh lebih jimat daripada SUV dengan enjin turbo tapi menggunakan enjin yang lebih kecil. Walaupun berkuasa, tapi LM350 bukanlah direka untuk pergi laju

Ia dihasilkan khusus untuk keselesaan paling maksima terutama dari segi talaan cesi. Ratio stering adalah besar bagi meminimakan olengan cesi, jadi pemandu perlu memusingkan stering dengan lebih ketika di selekoh. Sistem penyerap hentak pasif menggunakan teknologi Swing Valve Shock yang memastikan semua getaran dalam pelbagai arah ditapis oleh penyerap hentakan

Teknologi ini juga memastikan LM 350 sentiasa berada dalam keadaan tegak serta mengurangkan gangguan pada kepala penumpang ketika menyerap hentakan. Sampai macam tu sekali Lexus fikir.

Sistem brek yang menggunakan cakera berliang dipasang pada semua roda, tapi untuk LM 350 gigitan brek ditala lembut agar penumpang VIP tidak terkejut ketika situasi brek kecemasan dilakukan. Bagi ruang penumpang belakang, LM 350 direka dengan:

1. Ruang belakang yang sangat luas dan dipisahkan dengan partition antara ruang pemandu dan penumpang bagi mewujudkan ruang yang sangat privasi. Dinding pemisah ini memuatkan skrin 26 inci Full HD, cermin dengan teknologi frosted glass (boleh dicerahkan dengan butang), boleh diturunkan, peti ais untuk minuman dan ruang meletak barang

Lexus mengenakan konsep Gin Sui Boku pada dinding pemisah ini dengan hiasan mewah bertema kayu dan juga ornament khas yang dipasang dengan rapi oleh Takumi di kilang Lexus. Bayangkan ruang meletak barangpun dibalut dengan kulit lembut.

2. Hanya ada 2 tempat duduk di bahagian belakang LM 350 dari jenis Ottoman seat. Jadi penumpang VIP boleh baring sepenuhnya ke belakang dengan perehat kaki dinaikkan ke atas, satu aspek yang gagal dibuat jika mereka menaiki limosin sekalipun.

Kerusi Ottoman ini dibalut dengan kulit dan menggunakan pelapik urethene dengan teknologi Adaptipedic, sangat lembut dan selesa walaupun untuk perjalanan jarak jauh. Kerusi ini juga boleh disejukkan dengan kipas, dipanaskan dan dilengkapi dengan 7 mode mengurut.

3. Kerusi ini boleh dilaraskan dengan menggunakan skrin yang disediakan bagi mengakses pelbagai ciri yang ada pada kerusi ini termasuklah mengawal penyaman udara, mengubah pencahayaan lampu, sistem audio, membuka “moon roof” dan membuka cermin pada dinding pemisah

4. Menemani penumpang VIP ialah sistem pembesar suara talaan khas Mark Levinson sebanyak 19 unit yang dipasang pada kedudukan strategik, menghasilkan kualiti bunyi yang jelas serta menemani ciri skrin Full HD 26 inci di bahagian depan

5. Pengalaman perjalanan ibarat naik penerbangan kelas pertama dengan cermin “moon roof” yang besar, ruang penyimpanan barang, kerusi yang sangat empuk, 4 corong penyaman udara, cermin, lampu membaca, lampu kabin, serta ia memang sangat senyap. Baring sekejap anda boleh tidur lena, biarkan saja pemandu buat kerja dengan gembira

Dalam aspek keselamatan, LM 350 dilengkapi dengan sistem lampu LED matrik, cornering lamp, pre collision system (PCS) , Lane Tracing Assist, Dynamic Radar Cruise Control, Sistem Amaran Titik Buta, Kamera 360 darjah, 6 beg keselamatan udara dan juga parking support brake.

Ketika dipandu uji, sistem PCS mampu mengesan motosikal mankala Lane Tracing Assist akan menjadi tidak aktif seketika sewaktu memandu di selekoh agar pemandu tidak perlu berebut stering dengan sistem. Sistem start-stop juga beroperasi dengan cemerlang, menghidup dan mematikan enjin tanpa sebarang gegaran yang boleh dirasai pada kabin.

Kalau anda rasa LM 350 ini mahal, percayalah ia memang mahal bagi sebuah MPV super mewah 4 tempat duduk. Ia bukan disasarkan untuk pemandu dan pengguna seperti penulis ataupun pembaca. Ia direka khas bagi ahli perniagaan yang sememangnya sibuk dan perlu bergerak ke sana sini menguruskan perniagaan mereka.

Dalam kelasnya, langsung tak ada pesaing bagi sebuah MPV mewah baru dijual secara baru. Melainkan anda membeli MPV lain seperti Nissan Elgrand VIP tapi dari unit terpakai. Tapi bila difikir secara logik, pembeli dari golongan ini takkan beli kenderaan terpakai.

Buat apa mereka beli sedan mewah yang berharga separuh lebih murah daripada LM 350 sedangkan mereka sebenarnya mampu untuk beli LM 350. Kalau anda rasa LM 350 ini mahal dan tiada siapa beli, anda silap besar kerana setakat ini sudah 24 unit terjual. Kebiasaanya LM 350 didaftarkan dengan nombor pendaftaran istimewa 1 angka sahaja.

Mungkin nombor pendaftaran mereka untuk LM 350 ini sama harga dengan kereta milik kita, mungkin lebih mahal. Siapa tahu kan.

Google ads
Back to top button