Buletin

PETRONAS BERMINAT BIDA LESEN BANK DIGITAL

Syarikat minyak nasional, PETRONAS dan firma Singapura, Sea Ltd merupakan antara syarikat yang merancang untuk membida lesen perbankan digital di Malaysia. Perkembangan itu berlaku ketika Malaysia bersedia untuk membuka industri kewangannya.

Konglomerat tempatan, Genting Bhd dan YTL Corp serta kerajaan Sarawak turut menimbang untuk membuat bidaan, kata satu sumber yang enggan untuk dikenali kerana maklumat adalah sulit. Sebahagian firma itu, seperti Sea dan YTL Corp, menjalin kerjasama dan merancang untuk membida sebagai konsortium.

Malah, firma e-hailing dan pembayaran, Grab Holdings Inc, Sunway Bhd serta beberapa lagi didakwa turut menyatakan minat yang sama.

Rancangan Malaysia untuk mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital mencetuskan aktiviti dalam kalangan firma teknologi, bank dan lain-lain yang mahu mengukuhkan kedudukan dalam perkhidmatan kewangan.

Bidaan akan berakhir pada 30 Jun 2021 dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menentukan pemenang pada akhir 2022.

Malaysia menyertai Hong Kong dan Singapura untuk membuka sektor perbankan kepada peserta bukan kewangan bagi menghadapi peralihan ke arah teknologi, transaksi tanpa tunai serta pinjaman dalam talian.

Pandemik turut mempercepatkan keperluan transaksi digital, dengan bank tradisional seperti HSBC Holdings plc bercadang untuk menutup beberapa cawangannya di Malaysia sebagai sebahagian strategi berkembang ke arah digital.

Wakil Sea, Grab dan kerajaan negeri Sarawak enggan mengulas lanjut. Manakala YTL Corp dan Genting tidak memberikan maklum balas permintaan mendapatkan kenyataan. PETRONAS merancang untuk menumpukan kepada perbankan Islam digital dengan rakan institusi kewangan.

“Syarikat fintech sedia ada akan memperoleh rangsangan besar dari segi kredibiliti mendapatkan kepercayaan pantas pengguna dengan identiti rasmi sebagai sebuah bank, selain lesen sah untuk menjalankan aktiviti perbankan yang dikawal selia ketat di Malaysia.

“Daripada perspektif nasional, ia akan menjadi pencapaian besar untuk mengubah ekonomi menjadi ekonomi digital,” kata pengarah pelaburan Fortress Capital Asset Management Sdn Bhd, Chua Zhu Lian.

Singapura pada Disember lalu memberikan empat lesen perbankan digital kepada Grab, Sea, Ant Group Co Ltd dan konsortium membabitkan firma China, Greenland Financial Holding Group.

Ia merintis jalan kepada gergasi teknologi berkenaan mengembangkan perkhidmatan kewangan di hab Asia Tenggara itu. – Berita Harian 

Google ads
Back to top button