Buletin

BERMAZ AUTO CATAT UNTUNG BERSIH RM133.94 JUTA PADA FY21

Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 30 April, 2021,meningkat kepada RM133.94 juta daripada RM100.84 juta pada tahun kewangan 2020.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Syarikat itu menjelaskan bahawa hasil juga meningkat kepada RM2.29 bilion daripada RM1.76 bilion tahun lalu. Ini dipacu oleh kuantiti jualan tinggi daripada operasi domestiknya walaupun sebahagiannya diimbangi oleh kuantiti jualan rendah daripada operasi di Filipina.

“Kuantiti jualan domestik yang lebih tinggi bagi tahun kewangan itu adalah hasil daripada peningkatan jualan pada suku kedua hingga suku keempat. Ia berikutan impak positif daripada pengenalan pakej rangsangan ekonomi di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Selain kempen promosi agresif yang diperkenalkan oleh kumpulan,” katanya.

Keuntungan bersih Bermaz bagi suku keempat 2021 turut meningkat kepada RM66.83 juta berbanding RM2.46 juta pada suku keempat 2020. Sementara hasil meningkat kepada RM641.2 juta berbanding RM299.36 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kumpulan itu juga mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 1.50 sen dividen satu tier sesaham dan dividen khas 1.75 sen dividen satu tier sesaham bagi tahun kewangan 2021.

Bermaz berkata, ia berjaya mencatatkan keputusan menggalakkan bagi tahun kewangan 2021 biarpun berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19. Ini disebabkan oleh kempen promosi yang agresif dan insentif kerajaan seperti pengecualian cukai jualan.

Mengulas mengenai prospek masa depan, Bermaz berkata penerokaan baharu untuk menjual jenama kereta Peugeot dan Kia, serta peruncitan semula alat-alat ganti automotif masih lagi di peringkat awal. Jadi ia tidak menjangkakan sebarang impak besar kepada keputusan kumpulan bagi tahun kewangan 2022. – BERNAMA

Google ads
Back to top button