Buletin

PETRONAS CATAT KERUGIAN RM21 BILION PADA Q2 2020

PETRONAS mencatatkan kerugian RM21.0 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dalam tempoh sama 2019.

Ia merupakan suku tahunan pertama yang menyaksikan syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan kerugian sejak suku keempat tahun kewangan 2015.

Kerugian dicatatkan itu berikutan pendapatan yang rendah dan kerugian rosot nilai bersih terhadap aset yang ketara berikutan semakan menurun tinjauan harga minyak yang terjejas berikutan permintaan lemah akibat penularan COVID-19 dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

Rizab minyak, gas asli dan tenaga lain dipertimbangkan sebagai aset jangka panjang untuk tujuan perakaunan dan syarikat perlu melakukan ujian rosot nilai susulan perubahan dalam pergerakan harga minyak. Pada suku kedua 2020, harga Brent terus jatuh dengan paras purata sekitar AS$29.20 setong berbanding AS$68.83 setong.

Pada suku kedua 2020, PETRONAS meraih pendapatan sebanyak RM34.0 bilion, 42 peratus lebih rendah berbanding RM59.1 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2019.

Bagi separuh pertama 2020, PETRONAS mencatatkan kerugian RM16.5 bilion, sementara pendapatannya merosot 23 peratus kepada RM93.6 bilion.

Jika tidak termasuk kerugian rosot nilai, PETRONAS berupaya mencatatkan keuntungan RM7.7 bilion pada separuh pertama 2020.

Walaupun mencatatkan kerugian, syarikat minyak dan gas nasional itu berjaya mengekalkan aliran tunai daripada operasi (CFFO) yang positif pada paras RM26.3 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS yang baharu dilantik 1 Julai lalu, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memberitahu industri minyak dan gas berdepan cabaran pada separuh pertama tahun ini yang disifatkan sebagai tempoh ‘Great Reset’ kepada industri.

Keadaan pasaran mencabar dan tidak pernah berlaku itu menjejaskan industri secara ketara, PETRONAS juga tidak terkecuali daripada terkesan.

“Kita akan terus berdepan cabaran yang pelbagai dengan penularan COVID-19 dan ia dijangka berterusan pada separuh kedua 2020.

“Tumpuan kami adalah memastikan PETRONAS kekal kukuh untuk terus mengharungi perubahan baharu yang dicetuskan oleh lebihan bekalan yang berlarutan di tengah-tengah pengurangan permintaan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama 2020 PETRONAS di sini, hari ini.

Setakat 30 Jun 2020, jumlah aset PETRONAS berkurangan kepada RM613.0 bilion berbanding RM622.4 bilion pada 31 Disember 2019, berikutan kerugian rosot nilai bersih terhadap aset.

Ekuiti pemegang saham berkurangan kepada RM351.5 bilion setakat 30 Jun 2020 berbanding RM389.1 bilion setakat 31 Disember 2019. – BH Online 

Google ads
Back to top button