Buletin

TEMUI MINYAK DI TELUK MEXICO, SAHAM BERKAITAN PETRONAS NAIK

PETRONAS menerusi anak syarikatnya, Progress Resources USA Ltd (PRUL) bersama rakan penerokaannya, mengumumkan penemuan minyak di telaga eksplorasi Monumen, di luar pesisir Teluk Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Penemuan itu merupakan satu pencapaian penting buat syarikat minyak negara dalam mengukuh dan membangunkan usahanya di benua Amerika. Berita baik itu muncul ketika PETRONAS sedang mempelbagaikan portfolio perniagaan minyak dan gasnya di AS dan luar pesisir Teluk Mexico.

Penerokaan di telaga yang amat dalam itu telah digerudi dengan kedalaman 10,164 meter. Ia kemudian menemukan kira-kira 60 meter pasir mengandungi minyak bersih di Lower Wilcox dari batu pasir Paleogene. Dengan penemuan itu, kerja penilaian lanjut diperlukan untuk menentukan potensi penuh pengumpulan minyak.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Adif Zulkifli berkata penemuan di Teluk Mexico AS itu adalah perkembangan yang menggalakkan untuk PETRONAS ketika syarikat itu terus mengejar peluang di luar Malaysia.

“Ini adalah kemasukan dan penemuan pertama syarikat dalam operasi minyak dan gas di Teluk Mexico AS. Kami akan terus meneroka peluang di rantau Amerika dan mengukuhkan kelestarian portfolio global kami, “katanya dalam satu kenyataan.

Ia dikendalikan oleh Equinor Gulf of Mexico LLC dengan 50 peratus kepentingan kerja. Sementara PRUL memegang 30 peratus dan Repsol E&P USA Inc memiliki baki 20 peratus.

Penemuan minyak baharu itu juga membuatkan kaunter berkaitan PETRONAS di FBM KLCI mencatatkan kenaikan.

Pada 4 petang semalam, saham PetDag melonjak 84 sen kepada RM20.94, PetGas naik 20 sen kepada RM15.50 dan PetChem menambah satu sen kepada RM4.79.

Semua kaunter itu menyaksikan sejumlah 39.57 juta saham bertukar tangan. – Berita Harian / Astro Awani

Google ads
Back to top button