Buletin

PIAM, MTA MINTA PEMEGANG POLISI INSURANS DAN TAKAFUL RUJUK SYARAT PERLINDUNGAN BANJIR

Semua pemegang polisi, sijil insurans atau takaful dinasihatkan untuk menyemak semula perlindungan polisi mereka bagi memastikan harta mereka diinsuranskan daripada banjir, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

PIAM dan MTA dalam satu kenyataan bersama berkata banjir adalah perlindungan opsyen di bawah sijil polisi kebakaran dan motor standard.

“Jika perlu, pemegang polisi dan sijil dinasihatkan untuk menghubungi perantara, penanggung insurans atau pengendali takaful masing-masing bagi mendapatkan nasihat dan penjelasan lanjut. 

“Skop perlindungan, terma dan syarat termasuk langkah-langkah bantuan yang diberikan oleh sesebuah syarikat insurans atau pengendali takaful mungkin berbeza dengan yang lain, jadi sebaiknya, mereka dinasihatkan bagi menghubungi penanggung insurans atau pengendali takaful mereka,” kata persatuan itu.

PIAM dan MTA memberi jaminan kepada semua pemegang polisi dan sijil bahawa ahli mereka bersedia untuk memberikan bantuan kepada semua pemegang yang terjejas akibat banjir dalam meminimumkan kesan kewangan melalui proses tuntutan yang dipercepatkan termasuk pertimbangan khas berdasarkan kes demi kes. 

Untuk proses tuntutan yang dipercepatkan, pemegang polisi dan sijil perlu menyemak dengan penanggung insurans atau pengendali takaful bagi memastikan polisi atau sijil mereka dimasukkan dengan perlindungan banjir dan mereka perlu memaklumkan ejen atau perantara dengan butiran kerugian.

“Skop perlindungan, terma dan syarat termasuk langkah-langkah bantuan yang diberikan oleh sesebuah syarikat insurans atau pengendali takaful mungkin berbeza dengan yang lain, jadi sebaiknya, mereka dinasihatkan bagi menghubungi penanggung insurans atau pengendali takaful mereka,” kata persatuan itu.

Pemegang polisi dan sijil juga perlu menyediakan maklumat lengkap termasuk semua dokumentasi sokongan yang berkaitan kepada pengendali takaful penginsurans termasuk gambar.

“Seterusnya, bergantung kepada tahap kerugian, penanggung insurans atau pengendali takaful anda boleh melantik pelaras kerugian bebas untuk membantu anda memfailkan tuntutan,” katanya.

Pada masa yang sama, pemegang polisi serta sijil yang tidak terjejas oleh banjir diperingatkan untuk mengambil masa bagi mengkaji semula perlindungan mereka memandangkan bencana alam seperti banjir mungkin akan berlaku secara lebih kerap akibat kesan krisis iklim global. – BERNAMA

Google ads
Back to top button