
59% PEMANDU TIADA INSURANS PERLINDUNGAN BANJIR – ZURICH MALAYSIA
Sebanyak 59 peratus pemandu di Malaysia didapati tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.
Ini merupakan salah satu daripada dapatan Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan yang dijalankan oleh Zurich Malaysia. Justeru, pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan beranggapan tidak akan terjejas.
Dapatan tersebut cukup membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh atau musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada beberapa buah negeri yang dijangka mempunyai taburan hujan yang lebih tinggi berbanding purata antara 450mm dan 1,000mm pada November dan Disember.

Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang tidak sedia dihadapi oleh pengguna jalan raya di Malaysia. Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34%) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang. Manakala hanya 29 peratus dilindungi daripada kejadian tanah runtuh.
Kaji selidik itu juga mendapati dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian. Daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor, 38 peratus memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.
Namun begitu, portal dalam talian adalah kaedah paling popular dengan 43 peratus daripada pengguna jalan raya menggunakannya. Ini menunjukkan kepentingan teknologi dalam pasaran hari ini. 16 peratus lagi memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos bagi memperbaharui insurans atau takaful kenderaan mereka.
Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36%), dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34%).
Ini amat berguna jika pemilik kereta berada di dalam kenderaan tetapi tidak memandu, seperti mengambil gilaran untuk memandu dalam perjalanan rentas negeri yang panjang.
Sesetengah rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan semata-mata untuk memiliki insurans atau takaful kenderaan yang sah supaya boleh memperbaharui cukai jalan. Ini kerana 47 peratus responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan mereka.
Dijalankan pada September 2021, kaji selidik tersebut melibatkan 1,201 responden di seluruh negara dengan 990 daripadanya ialah pemilik kenderaan.
Ini merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan mereka bentuk pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup pelanggan.
- BACA: PERBAHARUI INSURANS KERETA DAN CUKAI JALAN DENGAN DREAMSHOP. ANSURAN 0% SEHINGGA 36 BULAN!
- BACA: INSIDEN JENGKAUT REMPUH FORD RANGER, 3 INDIVIDU DITAHAN POLIS
- BACA: PENJAWAT AWAM BOLEH POTONG GAJI, BAYAR ANSURAN INSURANS KENDERAAN DAN CUKAI JALAN
- BACA: IKTIBAR DARI INSDEN NISSAN SKYLINE R34 UNTUK PARA PEMANDU