PKP FASA 4 – BOLEH KELUAR BERDUA BELI BARANG KEPERLUAN HARIAN, UBAT-UBATAN
Kerajaan hari ini membenarkan ketua keluarga untuk membawa seorang lagi ahli keluarga ketika membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 4 dikuatkuasakan.
Kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diwartakan semalam.
Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Fasa 4 PKP bermula hari ini dan dijangka tamat pada 12 Mei depan.
Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain sambil diikuti oleh seorang lagi anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.
Sejak PKP fasa kedua dilaksanakan, orang ramai hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan dalam jarak lingkungan 10 kilometer dengan seorang sahaja dari rumah masing-masing.
Berdasarkan syarat tersebut, seseorang hanya dibenarkan untuk membeli makanan, keperluan harian dan ubat.
Peraturan itu juga menetapkan seorang sahaja dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali dengan alasan munasabah. – Sinar Harian