Buletin

PORSCHE PANAMERA DIJUAL PADA HARGA RM78K DI CHINA, SERIUSLAH?!

Peminat Porsche menjadi tidak tentu arah apabila pengedar Porsche AG di China menyiarkan iklan Panamera terbaharu dengan harga begitu murah berbanding harga asal, AS$148,000 (RM630,211).

Pengedar tersebut dilapor menawarkan harga hanya AS$18,000 (RM78,302) iaitu kira-kira satu perlapan daripada harga sebenar. Pastinya pelanggan mahu merebut peluang untuk mendapatkan Panamera pada harga tidak masuk akal itu.

Pelanggan juga menyerahkan yuran tempahan sebanyak RM135 untuk memastikan kereta tersebut berada dalam genggaman mereka.

Walau bagaimanapun, dalam keterujaan pelanggan mendapatkan Panamera itu, Porsche terpaksa mengambil tindakan dan mengakui bahawa pengedar di bandar utara Yinchuan telah memuat naik maklumat yang salah.

Menurut jurucakap Porsche, pengedar tersebut telah melakukan kesilapan serius dalam menyenaraikan harga seterusnya menyebabkan kekeliruan. Apabila menyedari kesilapannya, pengedar terbabit serta-merta mengeluarkan maklumat yang tepat dan memohon maaf atas kesilapan memalukan itu.

Pengedar telah berhubung dengan semua pelanggan yang telah membuat tempahan dan akan membayar semula yuran tempahan dalam masa 48 jam.

Jualan Porsche di China berjumlah AS$6.2 bilion (RM26.44 bilion) pada separuh pertama 2022, menjadikannya pasaran terbesar firma kereta mewah itu.

Sebanyak 46,664 unit kenderaan di China telah terjual dalam tempoh tersebut iaitu menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jualan global. – The Star

Google ads
Back to top button