Artikel Pilihan

CEO SAHKAN HYPERCAR BAHARU PORSCHE SELEPAS 2025 – LAMA LAGI TU

Porsche GT2 RS dan GT3 RS memang sangat laju tapi peminat-peminat Porsche masih mendambakan model-model flagship baharu yang mempunyai aura yang setanding dengan Carrera GT dan 918 Spyder. Tapi semua tak perlu bimbang sebab pembangunan hypercar Porsche tidak pernah dihentikan cuma buat masa sekarang mereka lebih fokus kepada teknologi EV.

Model halo Porsche disahkan masih dalam pembangunan oleh CEO Porsche sendiri, Oliver Blume. Dalam satu temubual dengan Car Magazine, beliau menyatakan yang hypercar sentiasa menjadi salah satu strategi Porsche dan kesemua model hypercar mereka berakhir dengan kejayaan dalam menonjolkan teknologi masa hadapan dan kehebatan produksi mereka sendiri.

Ini satu khabar baik untuk peminat Porsche sekelian tapi ianya tidak akan muncul dalam jangka masa terdekat. Kini mereka lebih fokus kepada mobiliti elektro dan banyak model EV yang akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi. Hypercar mereka akan muncul pada masa yang sesuai dan ianya hanya akan berlaku selepas tahun 2025. Sempat la simpan duit dulu kot?

Menurut jangkaan kami hypercar baharu semestinya akan dikuasakan sepenuhnya menggunakan elektrik mengikut peredaran semasa. Malah Porsche sendiri sudah banyak melabur dalam pembangunan bateri high-density berkuasa tinggi tang semestinya akan digunakan pada model-model mereka di masa akan datang

Kalau diikutkan sejarah, model-model flagship Porsche ini sentiasa muncul dalam setiap dekad. Contohnya Porsche 959 muncul pada tahun 1986, model super terhad 911 GT1 Strassenversion tahun 1997, Carrera GT muncul pada tahun 2003 dan 918 Spyder terbaru muncul pada tahun 2013 dengan trenkuasa hibrid.

Jadi adalah tidak mustahil untuk model flagship terbaharu mereka akan muncul sebelum berakhirnya dekad ini.

Malah selama beberapa tahun kebelakangan ini Porsche telah mendedahkan model-model konsep rahsia mereka untuk tatapan umum antaranya termasuklah 918 RS dan 929 Street, 917 Living Legend dan Vision 920.

Malah terbaru sekali ialah model konsep Vision GT khusus untuk platform permainan video Gran Turismo. Sebuah model EV dengan kuasa maksima 1,274 hp bersamaan dengan 950 kW.

Google ads
Back to top button