Buletin

PORSCHE CAYMAN GT4 RS KINI DI MALAYSIA. 4.0L N/A, 500PS, BERMULA RM1.55 JUTA

Sempena pelancaran kemudahan 4S terbaharunya di Danga Bay, Johor Bahru, Sime Darby Auto Performance (Porsche Malaysia) secara rasmi melancarkan model berkuasa tinggi Cayman GT4 RS ke pasaran tempatan. 

Ini merupakan model Cayman paling hardcore pernah dihasilkan oleh Porsche yang cukup sesuai untuk digunakan di atas litar lumba dan jalan raya biasa. 

Model flagship baharu dalam keluarga 718, Porsche 718 Cayman GT4 RS tampil dengan binaan ringan, chasis yang sangat lincah, ciri aerodinamik tercanggih dan gema bunyi stratosfera.

Jentera berkenaan menggunakan enjin aspirasi biasa flat-six bersesaran 4.0 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 500PS dan tork 540Nm dengan rev setinggi 9,000rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear klac berkembar PDK Porsche yang sangat pantas dan menjanjikan pemanduan sangat mengasyikkan. 

Berbanding 718 Cayman GT4, 718 Cayman GT4 RS ialah 80PS lebih berkuasa. Anda boleh mengharapkan pecutan dai 0-100km/j dalam masa hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 315km/j.

Biarpun begitu, ia masih dapat menawarkan penggunan bahan api sekitar 13 liter bagi 100km (WLTP).  

Antara ciri yang menarik perhatian ialah corong pengambilan udara pada bahagian belakang tingkap pemandu dan penumpang. Corong berkenaan menambah baik aspek aliran udara dan memberikan bunyi yang mengujakan. 

Sama seperti setiap model RS moden, jentera itu hadir dengan rekaan yang ringan iaitu cuma 1,145kg, kurang 35kg berbanding 718 GT4. Pengurangan berat itu dicapai menerusi penggunaan plastik gentian karbon yang diperkukuhkan (CFRP) untuk komponen seperti bonet dan wings hadapan. 

Bukan itu sahaja, panel pintu, karpet dan cermin belakang juga lebih ringan.  

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan wings baharu dengan pelekap jenis leher angsa (swan neck) aluminium. Wings itu sebenarnya diambil daripada jentera lumba Porsche 911 RSR GT dan mula dipasang pada model produksi Porsche 911 GT3.   

Penambahbaikan aspek aerodinamik membolehkan Cayman GT4 RS 25 memiliki daya down force 25 peratus lebih baik berbanding GT4 apabila mode Performance digunakan.  

Menjengah ke ruang kabin, jentera itu menggunakan kemasan material Race-Tex yang kelihatan seperti Alcantara. Papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh bersaiz tujuh inci dengan ketersambungan Apple CarPlay. 

Aspek sporty jentera ini dipertingkatkan dengan hendal pintu yang diperbuat fabrik tahan lasak. Pelanggan boleh memilih sendiri warna hendal pintu tersebut mengikut kecenderungan masing-masing. 

Jika berminat, 718 Cayman GT4 RS boleh anda miliki pada harga bermula RM1.55 juta sahaja. 

GALERI

Google ads
Back to top button