
BYD DENZA N8 DIPERKENALKAN DI CHINA – TAWAR JARAK GERAK 1,003KM, JANA KUASA SEHINGGA 1,193HP
BYD menerusi jenama kenderaan elektrik mewahnya, Denza, membuka tempahan awal bagi model SUV elektrik terbaharu, Denza N8, di China menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan pada November ini.
Model berkenaan hadir dengan jarak pemanduan maksimum sehingga 1,003 kilometer mengikut piawaian CLTC, selain menawarkan konfigurasi tiga motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan sehingga 1,193hp.
Bagaimanapun, harga rasmi bagi Denza N8 masih belum diumumkan. Sebagai perbandingan, model Denza N8L yang lebih panjang 50 milimeter ditawarkan pada harga bermula 299,800 yuan (kira-kira RM179,400).
Dari segi reka bentuk, Denza N8 menampilkan lampu hadapan berpecah dengan lampu nyalaan siang LED dua jalur di bahagian atas serta lampu utama menegak di bahagian bawah. Bampar hadapan turut dilengkapi saluran udara aktif, manakala ruang simpanan tambahan disediakan di bahagian hadapan kenderaan.

SUV itu mempunyai ukuran panjang 5,150mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,820mm, dengan jarak roda 3,075mm. Pembeli boleh memilih rim berukuran 20 atau 21-inci serta beberapa pilihan warna badan, termasuk Tianji Green, Night Black, Flowing Silver dan Shuyun Grey.
Bahagian kabin pula menampilkan skrin panoramik berukuran 30-inci, skrin bersepadu selebar 1.1 meter yang dikenali sebagai Sky Screen, kemasan kulit serta aksen corak kayu bagi memberikan suasana lebih premium.
Antara kelengkapan lain termasuk dua pengecas tanpa wayar berkuasa 50 watt di bahagian hadapan, pencahayaan ambien, sistem audio Devialet, skrin hiburan penumpang belakang dan peti sejuk terbina dalam.
Denza N8 turut menawarkan empat tempat duduk jenis sifar graviti, masing-masing dua di hadapan dan belakang. Tempat duduk hadapan boleh direbahkan sehingga 165 darjah, manakala tempat duduk belakang mempunyai sudut rebah maksimum 146 darjah serta pelarasan membujur sejauh 130mm.
Kesemua tempat duduk berkenaan dilengkapi fungsi pengudaraan, pemanas dan urutan, dengan kawalan pelarasan disepadukan pada panel pintu.

Dari aspek teknologi, SUV elektrik itu menggunakan sistem Yi San Fang (e3), suspensi udara pintar DiSus-A serta sistem stereng roda belakang. Ia turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju God’s Eye 5.0.
Bagi sistem rangkaian kuasa, Denza N8 ditawarkan dalam konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) dengan motor tunggal serta pacuan semua roda (AWD) menggunakan tiga motor elektrik.
Varian motor tunggal tersedia dalam dua tahap kuasa, masing-masing 320 kilowatt (kW) atau 429hp dan 370kW bersamaan 496hp.
Sementara itu, versi tiga motor menggunakan satu motor elektrik di hadapan dan dua di belakang. Motor hadapan menghasilkan 270kW (362hp), manakala setiap motor belakang menjana 310kW (416hp), menjadikan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 890kW atau 1,193hp.
Konfigurasi itu turut membolehkan kenderaan melakukan pergerakan khusus seperti putaran pada paksi sendiri dan pergerakan merangkak secara pintar.

Dari segi bateri, Denza N8 menggunakan teknologi bateri Blade generasi kedua yang menyokong pengecasan pantas berkuasa tinggi, dikenali sebagai Flash Charging.
Berdasarkan maklumat pendaftaran terdahulu, model itu bakal ditawarkan dengan pilihan bateri berkapasiti 130.15 kilowatt-jam (kWj) dan 105.79kWj.
Jarak pemanduan yang ditawarkan ialah sehingga 1,003km, 970km, 840km dan 800km mengikut piawaian CLTC, bergantung pada konfigurasi bateri serta rangkaian kuasa.
Angka tersebut bersamaan anggaran sekitar 648km hingga 812km mengikut piawaian WLTP, yang menggunakan kaedah pengujian berbeza.
Selain versi elektrik sepenuhnya, Denza turut merancang memperkenalkan varian hibrid plug-in pada masa hadapan.
Varian itu dijangka menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 435km berdasarkan piawaian CLTC.



