Buletin

CHINA BAKAL SEKAT SKRIN BESAR, ARAHAN SUARA KERETA MULAI 2027

China berkemungkinan memperketat peraturan penggunaan skrin infotainmen bersaiz besar dalam kenderaan bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap pemandu, susulan langkah negara itu mengetatkan aspek keselamatan teknologi automotif.

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) sedang meneliti beberapa ciri teknologi dalam kenderaan moden, termasuk skrin sentuh fleksibel, paparan boleh lipat serta sistem paparan maklumat pada cermin hadapan (HUD).

Menerusi cadangan terbaharu, skrin infotainmen bersaiz besar dan paparan lain mungkin diwajibkan menjalani penilaian keselamatan pemanduan, keselamatan ketika kemalangan serta ketahanan dalam keadaan persekitaran ekstrem sebelum dibenarkan dipasarkan.

Langkah itu berpotensi memberi kesan kepada pengeluar kenderaan yang semakin menjadikan skrin besar sebagai ciri utama kabin, khususnya dalam kenderaan elektrik (EV).

Selain paparan digital, pihak berkuasa turut meneliti penggunaan tempat duduk jenis zero gravity ketika kenderaan bergerak. Tempat duduk berkenaan lazimnya boleh direbahkan dengan sokongan kaki bagi memberikan keselesaan kepada penumpang.

Penggunaan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang membolehkan pengguna menghasilkan corak tersendiri juga termasuk dalam ciri yang sedang dikaji.

Pada masa sama, China mencadangkan sekatan terhadap penggunaan arahan suara bagi mengendalikan fungsi keselamatan penting seperti lampu utama, pintu dan bonet kenderaan.

Cadangan itu menyusul langkah China melarang penggunaan pemegang pintu elektronik jenis tersembunyi yang perlu terkeluar secara automatik, selain usaha memperluas penggunaan butang dan suis fizikal bagi fungsi penting kenderaan.

Jika diluluskan, peraturan baharu itu dijangka terpakai kepada kenderaan yang dikeluarkan mulai 1 Januari 2027, manakala model sedia ada perlu mematuhi ketetapan berkenaan selewat-lewatnya 1 Julai 2027.

Kenderaan yang gagal memenuhi piawaian ditetapkan berkemungkinan perlu menjalani proses panggil balik atau dihentikan pengeluarannya.

Google ads
Back to top button