Buletin

7 KENDERAAN MUSNAH DIBAKAR DI PPR PANTAI DALAM. BOMBA TEMUI BOTOL BERBAU PETROL

Sebanyak tujuh kenderaan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dengan api di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

Pada Rabu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai serta Seputeh bergegas ke lokasi.

“Kita telah pergi ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh kenderaan pelbagai jenama telah terbakar,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Sharul Azwan Ibnu Sahad pula memberitahu operasi pemadaman kebakaran itu melibatkan 21 anggota.

Hasil siasatan, pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menjumpai satu botol berbau petrol dan kesan simbahan petrol di hadapan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan sebuah van berwarna merah yang disyaki menjadi punca kebakaran.

Justeru, lima spesimen di tempat kebakaran telah diambil dan dibawa ke makmal untuk analisis punca sebenar kebakaran.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Basri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang. – Harian Metro, Astro Awani

Google ads
Back to top button