Buletin

PROTON CAPAI JUALAN TERTINGGI DALAM TEMPOH 8 TAHUN

Empat model Proton mencatat jualan tertinggi dalam segmen masing-masing pada bulan Julai menunjukkan jualan keseluruhan meningkat sebanyak 37.3%.

Proton Saga mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A.

Sebanyak 5,421 unit berjaya dijual pada bulan Julai, termasuk 1,100 unit Edisi Ulang Tahun Saga yang habis ditempah dalam tempoh lima hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai yang lalu.

Jumlah ini merupakan tertinggi dicatatkan model itu sejak April 2014.

Selain itu, Proton X70 turut mencatat jualan sebanyak 3,087 unit, SUV segmen C premium itu bukan sahaja mencapai jualan bulanan terbaik, malah terus menjadi SUV terlaris di Malaysia.

Dua lagi model yang menjadi pilihan pengguna merupakan Persona dan Exora. Proton berjaya menjual sebanyak 3,043 unit Persona pada bulan Julai, mengukuhkan kedudukannya yang teratas bagi sedan segmen B.

Bagi Exora pula, ia mencatatkan sebanyak 792 unit merupakan jumlah jualan terbaik sejak Ogos 2016, kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan Proton pada bulan Julai 2020 menunjukkan prestasi terbaik syarikat dalam tempoh lebih lapan tahun.

“Kami berbangga dengan pencapaian model-model syarikat di dalam setiap segmen. Kami juga mendapati terdapat kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan.

“Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat yang mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100% berbanding bulan sebelumnya.

“Justeru, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan oleh semua rakyat Malaysia dan buat masa ini, kami tetap berasa optimis pada tahun 2020 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada bulan Ogos, beliau menambah, Proton akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini.

“Bahagian pengeluaran, kualiti, jualan dan selepas jualan Proton sedang bekerja keras untuk memastikan agar kami dapat memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang bersesuaian seperti yang telah kami tetapkan,” katanya.

Jualan kereta di Malaysia terus meningkat pada bulan Julai di mana gabungan antara insentif jualan tanpa cukai dan permintaan pengguna telah mendorong kenaikan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi dalam tempoh 13 bulan.

Proton turut memperoleh keuntungan dari peningkatan penjualan tersebut selepas jenama automotif Malaysia sekali lagi menguasai pasaran yang menyumbang sekitar 63.2% jumlah jualan pada bulan ini.

Google ads
Back to top button