Buletin

PROTON AKAN PERLUAS RANGKAIAN PENGURUSAN KERETA TERPAKAI

Ketika industri automotif Malaysia kembali pulih selepas terkesan akibat pandemik Covid-19, corak pembelian baharu iaitu segmen kereta terpakai mula memberi impak di pasaran.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kereta terpakai meningkat sebanyak 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020.

Perniagaan kereta terpakai adalah komponen penting dalam rantaian nilai automotif dan merupakan satu perkara yang jarang diberi perhatian.

Proton melihat ini sebagai sebahagian strategi penting dan mula memperkenalkan Jabatan Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) bagi melancarkan penjualan serta pengedaran kereta terpakai dalam usaha meningkatkan penjualan kereta baharu.

Jabatan UCM Proton ditubuhkan pada tahun 2019, dengan projek awal terdiri daripada lapan pusat jualan yang terletak di beberapa lokasi di pengedar.

Beberapa bulan awal digunakan untuk menetapkan prosedur operasi dan melatih pemeriksa kereta-kereta terpakai yang akan menguruskan transaksi di setiap pusat jualan.

Pada tahun 2020, matlamat Proton adalah mewujudkan operasi di 36 cawangan 3S/4S seluruh negara.

Ketua Pengurusan Kereta Terpakai, Proton, Brian Cheah berkata peranan pengurusan kereta terpakai menjadi lebih penting dengan pertumbuhan jualan Proton secara pantas dan dijangka terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang.

“Ketika Syarikat mewujudkan jabatan UCM pada tahun 2019, sasaran ditetapkan adalah untuk menyokong penjualan kereta baharu dan meningkatkan nilai jualan semula kereta Proton.

“Pada masa akan datang, UCM akan membangunkan satu portal kereta terpakai Proton sebagai platform jualan dalam talian untuk menarik pembeli kereta terpakai yang aktif menggunakan teknologi dalam talian,” katanya.

Dia menambah, pelanggan berpotensi boleh melihat stok jualan melalui platform online dan boleh melayari laman web untuk mendapatkan anggaran nilai untuk kereta mereka.

Katanya, sasaran ditetapkan untuk UCM adalah penggantian jualan, di mana pemilik sedia ada menukar beli sebuah Proton baharu, bagi menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus  dari jumlah jualan bagi pusat jualan yang mempunyai perkhidmatan UCM.

“Syarikat juga telah memperkenalkan program untuk membantu mencapai sasaran seperti Proton Xchange, bagi menggalakkan pemilik sedia ada menggantikan kereta mereka dengan model Proton baharu,” ujarnya.

Mengenai penjualan tukar beli Cheah menjelaskan, kereta yang dijual oleh UCM akan dipasarkan di bawah program Proton Certified Pre-Owned (PCPO) di mana semua kenderaan PCPO akan menjalani pemeriksaan 201 titik yang komprehensif dan dijamin tidak pernah mengalami banjir atau kerosakan struktur akibat kemalangan teruk.

Ia dilengkapi jaminan lanjutan selama 1 tahun meliputi enjin dan transmisi serta layak mendapat servis percuma sebanyak sekali (minyak enjin dan penapis minyak sahaja), sehingga 6 bulan dari tarikh kereta tersebut didaftarkan.

Tags
Google ads
Back to top button