Artikel Pilihan

T.50: SUPERCAR ABAD KE 21 DAN PEWARIS SPIRITUAL MCLAREN F1

Gordon Murray merupakan seorang genius automotif yang telah melahirkan model lagenda McLaren F1 dan kini beliau baharu sahaja memperkenalkan pewaris spiritual kepada McLaren F1 dan dinamakan T.50. Fuh dah macam nama Terminator pulak kan?

Berbeza dari hypercar moden seperti Bugatti Chiron ataupun Koenigsegg Regera yang dihasilkan dengan segala macam sistem bantuan pemanduan  berteknologi tinggi, T.50 lebih kepada sebuah jentera untuk purist ataupun pemandu sejati tanpa campurtangan sistem komputer canggih. Ia adalah sebuah supercar untuk pemandu sejati sama seperti McLaren F1, malah lebih baik lagi.

Dinilai dari rupa paras, ia mungkin agak subjektif malah ada yang mengatakan ia adalah kacukan McLaren dan Porsche 918 Spyder. Tapi bila diteliti dengan lebih lanjut tenyata ia memang mempunyai peratus DNA F1 yang tinggi.

Perhatikan sahaja bentuk hadapannya yang agak tajam dengan pintu dihedral dan bukaan ruang enjin seperti sebuah pesawat ringan (er macam traktor lama pun ada kan?). rekaan pintunya seakan bersatu dengan bumbung yang diperbuat daripada kaca tetapi bahagian yang paling menonjol semestinya ialah skup udara pada bahagian bumbung yang berfungsi untuk menyalurkan udara ke enjin NA V12 yang berada di bahagian belakang kereta ini.

Rekaan badan yang diperbuat daripada serat karbon memang nampak cukup selari dengan bahagian belakang yang berfungsi mengalirkan udara panas selain diffuser besar untuk mengawal downforce pada kelajuan tinggi. Ia juga dilengkapi dengan lampu belakang 3D LED selain rim-rim bersaiz 19/20 aloi tempa yang kemudiannya dibalut dengan tayar-tayar Michelin Pilot Sport 4 S.

Kuasa henti datangnya dari sistem brek berprestasi tinggi yang merangkumi cakera-cakera seramik karbon lengkap dengan angkup 6-piston di hadapan dan 4-piston belakang. Dengar spek pun dah tahu brek ni memang mahal amat dan sangat-sangat-sangat berkuasa.

Satu perkara menarik pada kereta ini ialah kipas tunggal yang berada di bahagian tengah belakang yang seperti diambil daripada Batmobile milik Batman. Ia merupakan satu tambahna menarik dan menurut Gordon Murray Automotive (GMA) ia mampu mengurangkan seretan drag sehingga 12.5 peratus dan menambah 49hp kepada keluaran kuasa enjin. Tutup mulut tu kerana bukan itu sahaja, ia juga memendekkan jarak berhenti ketika membrek dan meningkatkan downforce sehingga 100 peratus dalam mod Braking.

Ciri aerodinamik merupakan antara kehebatan rekaan Gordon Murray dan kereta ini memang dilengkapi dengan spoiler belakang dinamik dan panel bawah badan aktif untuk membantu fungsi aerodinamik. T.50 turut dilengkapi dengan enam mod aero yang dinamakan Auto, High Downforce, Streamline, Braking, Test dan V-Max Boost. Dengan mod V-Max Boost, prestasi kereta ini akan dinaikkan ke tahap tertinggi yang mencapai 690 hp!

Sama seperti F1, T.50 turut mempunyai konfigurasi 3-tempat duduk yang sama. Pemandu berada di tengah dan dua penumpang lagi di kiri dan kanan. Konsol tengahnya pula adalah dari jenis ‘floating’ di bahagian kanan pemandu dan menempatkan tombol gear titanium dan suis kawalan infotainment.

Takometer yang besar berada di hadapan pemandu dan diapit dengan dua unit paparan digital kiri dan kanan. Ia berada di belakang roda stereng dengan kemasan serat karbon dan suis-suis yang diperbuat daripada aluminium gred ketenteraan.

Memandangkan ia merupakan model tempahan khas, setiap bakal pemilik boleh berbincang sendiri dengan Gordon Murray tentang kehendak mereka dan ia akan dihasilkan mengikut keperluan pemilik. Dah macam nak beli gaun pengantin pun ada kan? Jangan mengada-ngada nak pilih konsep garden wedding pulak okey.

Murray berhasrat menjadikan kereta ini sebuah kereta sports British sejati jadi kesemua komponennya akan dihasilkan oleh pengeluar British sepenuhnya. Maaf, alat ganti Taiwan tak ada untuk kereta ni.

Supercar ini akan dikuasakan enjin V12 3.9L yang mampu menghasilkan 654 hp kuasa dan 467 Nm tork. Ia merupakan sebuah enjin NA dan dihasilkan oelh Cosworth. Ia dikatakan sebuah enjin dengan putaran tertinggi, mempunyai tindak balas yang pantas dan merupakan enjin V12 yang paling ringan. Ia mampu dipacu sehingga 12,100 rpm dan mampu mencecah garisan merah dalam masa hanya 0.2 saat.

Ia merupakan enjin paling ideal menurut Murray dan yang paling ia bukannya dihasilkan untuk membuat catatan 0-100 km/j terpantas ataupun menghasilkan kuasa paling tinggi. Apa guna kuasa tinggi-tinggi kalau tak boleh guna? Baik pakai Myvi je, lagi best.

Enjin tersebut dipadankan pula dengan kotak gear manual enam kelajuan yang memang tak sesuai langsunglah dengan golongan jutawan segera MLM. Sama seperti komponen lain kereta ini, kotak gearnya juga cukup ringan dan mempunya berat hanya 80.5 kg.

Bukan itu sahajam, berat keseluruhan kereta pun sebenarnya ialah sekitar 986 kg sahaja! Lebih ringan berbanding Mazda MX-5 sebenarnya.

Selain daripada itu ia turut menggunakan sistem suspense double wishbone dan sistem stereng rak dan pinan untuk golongan pemandu sejati. Bila last sekali korang bawak kereta dengan sistem stereng rak dan pinan ni? Ia juga dilengkapi dengan LSD dan sistem bantuan pemanduannya boleh dinyahaktif sepenuhnya.

Hanya 100 unit bakal dihasilkan dan setiap satunya dikatakan bakal dijual dengan harga melebihi USD3 juta (RM12.6 juta). Amacam boleh dah start kumpul buah pinggang kot?  

Macam mana nak servis ni? Rangkaian pusat servis akan dibuka di Abu Dhabi, Jepun, UK, US dan Kubang Kerian. Okey yang last tu kami tipu. Negara lain pun tak ada masalah janji duit anda cukup mereka akan menerbangkan mekanik dan juruteknik ke tempat anda.

Google ads
Back to top button