Buletin

PROTON TAWAR PAKEJ PEMBIAYAAN UNTUK GRADUAN. GAJI RM1.5K PUN DAH BOLEH BELI KERETA

Proton Commerce Sdn. Bhd. (PCSB), sebuah syarikat di bawah Kumpulan PROTON mengumumkan satu kempen yang memberi peluang kepada graduan baharu untuk memiliki kereta pertama dengan kadar pinjaman Sewa Beli (HP) yang rendah.

Lebih memudahkan, kempen itu hanya memerlukan satu surat pengesahan pekerjaan atau slip gaji selama sebulan sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman.

Bermula hanya 2.98 peratus, kadar yang ditawarkan oleh PCSB adalah antara yang terendah setakat ini.

Antara syarat utama yang diperlukan pelanggan mestilah seorang graduan (sekurang-kurangnya diploma), berumur antara 18-30 tahun dan mempunyai pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500.

Kempen itu berlangsung sehingga 31 Disember 2020, seiring dengan penawaran jualan tanpa cukai bagi semua kereta Proton. Ia ditawarkan untuk membantu mengatasi masalah mobiliti bagi mereka yang baru memasuki fasa pekerjaan.

Halangan utama bagi pembeli di dalam segmen ini adalah untuk mendapatkan pinjaman jual beli tanpa mempunyai slip pendapatan selama tiga bulan, satu syarat biasa bagi mendapatkan pinjaman.

“Melihatkan kepada ekonomi ketika ini, mobiliti adalah sesuatu yang penting bagi anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan.

“Kami yakin pakej ini dapat membantu graduan baharu memiliki kereta, di mana bayaran semula hanya dariserendah RM239 sebulan” kata Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Mooi Fi Phang.

Industri jual beli dijangka meningkat dalam waktu terdekat, berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman baru-baru ini serta pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang.

Selain pakej kempen graduan baharu, PCSB turut mengumumkan pada 7 Julai 2020, syarikat juga telah menurunkan kadar faedah penawaran keseluruhan sehingga serendah 2.22% berdasarkan kredibiliti pelanggan dan margin kewangan.

Ini bermaksud pelanggan akan mendapat keuntungan secara langsung kerana dengan bayaran bulanan yang lebih rendah membolehkan mereka menggunakan simpanan tersebut untuk membeli barangan keperluan. Di samping menyimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Maklumat lanjut mengenai PCSB dan perkhidmatan yang disediakan, layari www.protoncommerce.com

Google ads
Back to top button