
UMW TOYOTA KINI BUKA TEMPAHAN UNTUK MODEL HILUX, FORTUNER DAN GR86 2024
UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan pembukaan tempahan untuk model Toyota Hilux, Toyota Fortuner, dan Toyota GR86 bagi tahun 2024 yang dilengkapi dengan pelbagai penambahbaikan.
Pembukaan tempahan untuk ketiga-tiga model ini bermula hari ini, menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna yang mencari kenderaan berkualiti tinggi dengan prestasi unggul.
Toyota Hilux
Toyota Hilux yang terkenal dengan ketahanan dan kebolehpercayaan, terus menjadi pilihan utama di kalangan pengguna Malaysia.
Dengan reka bentuk yang kukuh dan ciri-ciri dipertingkatkan, Hilux terus mengungguli segmen pikap, menawarkan gabungan antara prestasi serta praktikaliti.

Penambahbaikan terkini termasuk Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Control) pada varian Hilux 2.4 Single Cab, yang meningkatkan prestasi pengendalian dengan ketara.
Tambahan aksesori canggih seperti ciri Remote Engine Start, yang pertama kali diperkenalkan pada model Toyota, akan tersedia pada varian Hilux terpilih.
Ciri ini membolehkan pengguna memulakan atau mematikan enjin, memanaskan atau menyejukkan kabin, serta menjadualkan operasi enjin melalui aplikasi Toyota My.
Selain itu, Panoramic View Monitor akan menjadi standard bagi model Hilux 2.8 GR Sport, Hilux 2.8 Rogue, dan Hilux 2.4V.
Manakala Pengecas Tanpa Wayar akan menjadi ciri standard bagi Hilux 2.8 GR Sport dan Hilux 2.8 Rogue, serta pilihan untuk model lain, kecuali Hilux 2.4 Single Cab.
Model Hilux kini dilengkapi dengan standard Emisi Euro 4 terkini. Varian Hilux 2.8 GR Sport dan Hilux 2.8 Rogue dikuasakan oleh enjin 2,755cc yang menghasilkan 224PS / 550Nm dan 204PS /500 Nm tork masing-masing.
Varian 2.4V pula dilengkapi dengan enjin 2,393cc yang menawarkan 150PS dan 400Nm tork.
Untuk harga, model ini boleh dimiliki pada harga bermula daripada RM104,880 tanpa insurans.

Toyota Fortuner
Toyota Fortuner telah menjadi kegemaran di kalangan pemandu yang menghargai keteguhan dan serbaguna. F
ortuner kini menawarkan GR Bodykit baharu sebagai aksesori pilihan untuk varian Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4, yang merangkumi pakej GR Body Kit seperti Skirt Bumper Depan, Hiasan Lampu Kabus Depan, serta Skirt Bumper Belakang, meningkatkan daya tarikannya yang dinamik.
Fortuner juga menawarkan pilihan enjin petrol dan diesel bersih yang sesuai dengan pelbagai keutamaan.
Varian Fortuner 2.7 SRZ dikuasakan oleh enjin petrol 2,694cc, menghasilkan 166PS dan 245Nm tork, manakala varian Fortuner 2.8 VRZ menampilkan enjin diesel bersih 2,755cc dengan 204PS dan 500Nm tork.
Varian Fortuner 2.4 pula dilengkapi dengan enjin diesel bersih 2,393cc yang menghasilkan 150PS dan 400 Nm tork.
Pilihan-pilihan ini, digabungkan dengan rangkaian aksesori yang diperbaharui, memperkukuh reputasi Fortuner sebagai kenderaan serbaguna.
Beralih pada harga, Toyota Fortuner baharu diberi tanda harga bermula RM195,880 tanpa insurans.

Toyota GR86
Toyota GR86 pula menawarkan peningkatan yang signifikan bagi kedua-dua varian 2.4 A/T dan 2.4 M/T.
Direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih mendebarkan, GR86 baharu ini menawarkan siri penambahbaikan yang direka dengan teliti.
Fokus utama kepada peningkatan ini adalah pada pengendalian dan tindak balas.
Tindak balas throttle telah diselaraskan dengan teliti untuk menyediakan kawalan yang luar biasa pada had kemampuan, manakala sistem suspensi diperbaiki untuk respons pengendalian lebih baik.
Sistem stereng kuasa elektrik juga telah dikalibrasi semula untuk pengalaman stereng yang lebih langsung dan menarik.
Bagi peminat transmisi automatik, GR86 2.4 A/T kini menampilkan penalaan transmisi yang dipertingkatkan – membolehkan RPM enjin lebih tinggi selepas menukar gear ke bawah, memberikan pemandu kawalan serta prestasi lebih mengagumkan.
Untuk meningkatkan keselamatan dan ketenangan minda, GR86 kini dilengkapi dengan Perakam Video Digital (DVR) hadapan dan belakang sebagai standard.
Ciri canggih ini akan diaktifkan secara automatik dan mula merakam apabila enjin dihidupkan, merakam rakaman sudut lebar dalam resolusi HD penuh.
Untuk harga pula, GR86 2.4 A/T dan GR86 2.4 M/T ditawarkan pada harga bermula daripada RM295,000 tanpa insurans.
Untuk maklumat lanjut, lawati https://www.toyota.com.my atau hubungi talian bebas Toyota 1-800-8-TOYOTA (869682).
- BACA: MERCEDES-BENZ EQS 450 4MATIC SUV 2024 DILANCARKAN – 360HP, JARAK GERAK 673KM, HARGA BERMULA RM635K
- BACA: SEMPENA BULAN MERDEKA, HONDA MALAYSIA TAWAR PROMOSI ‘MERDEKA JIWA MADANI’ – PENJIMATAN SEHINGGA RM8K!
- BACA: WRC 2024 – SEBASTIAN OGIER AKAN MENGEJAR KEJUARAAN WRC BUAT KALI KESEMBILAN MUSIM INI
- BACA: GWM MALAYSIA TAWAR PROMOSI ‘MERDEKA EXCLUSIVE BOOK & WIN’ – BERPELUANG MENANGI BAUCAR PERCUTIAN BERNILAI RM30K