KAWASAKI BAKAL LANCAR VERSYS 1100 S BAHARU
Kawasaki telah memfailkan dokumen baharu di Australia yang mengesahkan kemunculan Versys 1100 S pada 2025.
Dokumen itu secara tak langsung memberi bayangan bahawa Kawasaki bakal menaik taraf Versys dengan kapasiti enjin yang lebih besar selain beberapa peningkatan lain.
Dokumen yang diterbitkan itu tidak menyatakan secara spesifik kapasiti enjin yang akan digunakan namun model kod KLZ1100B jelas membuktikan enjin 1100. Ini kerana model Versys 1000 S terdahulu membawa kod KLZ1000B.
Apa pun, dokumen tersebut merujuk KLZ1100B sebagai varian tambahan bermakna Versys 1100 S akan ditawarkan bersama Versys 1000. Buat masa ini, naik taraf ini hanya melibatkan varian S.
Dalam pada itu, Kawasaki sering menjadikan Versys sebagai platform pertama untuk menerima sebarang peningkatan terutamanya pakej elektronik maka tidak hairan jika Versys 1100 S itu akan dilengkapi dengan sistem radar yang menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ atau ‘blind spot detection’ seperti motosikal ‘tourer’ lain dalam segmennya.
Apa pun, kami jangkakan Versys 1100 S ini akan dikuasakan platform baharu yang lebih besar berbanding enjin empat silinder 1,043cc yang digunakan sekarang.
Dalam pada itu, kami jangkakan Kawasaki akan turut memperkenalkan Ninja 1100 serta Z1100 bagi menggantikan Ninja 1000SX dan Z1000.
Kawasaki dijangka akan membuat pengumuman lebih terperinci ketika di EICMA 2024 nanti.