
RASMI: CRUISER PERTAMA DI MALAYSIA DENGAN SISTEM AMT DIPERKENAL – HANYA RM17,888
Sebelum ini, motosikal yang menawarkan sistem transmisi AMT (automatic manual transmission) rata-rata melibatkan motosikal segmen premium dan berprestasi tinggi.
Antara motosikal yang menawarkan ciri ini adalah BMW (AMT), KTM (AMT) dan Yamaha (Y-AMT).

Namun begitu, orang ramai kini mampu merasai teknologi tersebut menerusi tawaran terbaru MForce Bike Holdings melalui model QJMotor SRV 250 AMT. Menariknya, SRV 250 AMT ini ditawarkan pada harga hanya RM17,888.

Seperti namanya, AMT bermaksud motosikal ini boleh dioperasikan secara automatik (twist and go) seperti sebuah skuter dengan pertukaran gear akan berlaku secara automatik. Namun, pengguna boleh beralih ke mod manual dengan pertukaran gear dilakukan dengan hanya menekan butang (+) dan (-) di handlebar.
Pada masa sama, SRV 250 AMT juga merupakan motosikal gaya cruiser pertama di Malaysia yang hadir dengan teknologi berkenaan.

Atas kertas, SRV 250 AMT ini mengekalkan enjin sama dengan SRV 250, platform dua silinder V-Twin SOHC yang berupaya menjana 27.5hp pada 9,000rpm dan 23Nm pada 8,000rpm.
Walaupun gaya retro namun SRV 250 AMT ini masih lagi menawarkan sistem terkini antara ABS dwi-saluran dan traction control (TC) secara standard.

Memandangkan sistem AMT ini lebih mudah dikendalikan maka motosikal ini juga sesuai untuk penunggang baharu dan berpengalaman. Kapasti tangki 13.5L juga menjaminkan perbatuan yang lebih jauh.