,
Buletin

MASERATI LEVANTE TROFEO LAUNCH EDITION. 3 UNIT SAHAJA DI MALAYSIA. RM1.8 JUTA!

Naza Italia – Maserati baru-baru ini melancarkan Maserati Levante Trofeo Launch Edition ke pasaran Malaysia.

Terhad kepada 100 unit di seluruh dunia dan hanya tiga unit di Malaysia, ia merupakan jentera yang dilengkapi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada kereta jalanan Maserati.

Levante Trofeo Launch Edition ditawarkan pada harga RM838,800 seunit. Jika dicampur dengan duti tempatan, cukai, insurans dan sebagainya, harganya mencecah RM1.8 juta.

Secara mekanikalnya, SUV edisi pelancaran itu adalah sama dengan Levante Trofeo, yang merupakan Levante pertama dipasang dengan enjin 3.8 liter Twin Turbo V8. Enjin tersebut mampu menjana kuasa 590hp dan tork 730Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik ZF 8-kelajuan yang digunakan pada semua versi Levante.

Gabungan tersebut membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 3.9 saat dengan kelajuan maksimum 304km/j. Ia memerlukan jarak brek sejauh 34.5 meter sebelum dapat berhenti sepenuhnya.

Kuasa itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive (AWD) dengan mod pemanduan CORSA dan kawalan pelancaran baharu.

Sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive direka untuk memberikan pengalaman pemanduan roda belakang terbaik. Dalam pemanduan normal, Q4 menyalurkan 100 peratus kuasa  tork ke roda belakang.

Jika bergerak di atas permukaan yang licin atau roda belakang hilang cengkaman, sistem itu boleh mengubah pembahagian tork depan/belakang kepada nisbah 50:50 dalam masa 150 milisaat sahaja.

Mod pemanduan CORSA menawarkan respons enjin secara serta-merta. Ciri itu eksklusif untuk Levante Trofeo. Ia diprogram untuk memberikan penukaran gear lebih pantas, paras suspensi udara lebih rendah, redaman Skyhook sporty dan mengoptimumkan tetapan Intelligent Q4 All-Wheel Drive.

CORSA hadir dalam mode pemanduan Normal, I.C.E., Sport dan Off Road. Sistem Integrated Vehicle Control (IVC) juga telah dipasang buat pertama kali pada Levante untuk memberikan dinamik pemanduan yang terbaik.

Levante menawarkan agihan berat 50:50 dan pusat graviti yang rendah. Aspek itu kemudian digabungkan dengan suspensi belakang jenis multilink.

Bahagian hadapan Levante Trofeo dipasang lampu utama adaptif Full Matrix LED, gril depan dengan palang vertikal berkembar dengan kemasan Black Piano, fasia berjaring sarang lebah di bahagian bawah dan angkup brek dengan pilihan warna merah, biru, hitam, perak atau kuning. Logo Trofeo turut dilekatkan pada tiang C Levante dengan gayaan coupe.

Sisi sporty SUV itu diserlahkan lagi dengan beberapa komponen gentian karbon pada bahagian dalaman dan luaran.

Pemandu boleh melaras ketinggian pemanduan menerusi suis khas atau dengan memilih mod pemanduan pada konsol tengah. Perbezaan ketinggian daripada kedudukan paling rendah hingga paling tinggi ialah 75 mm – hingga 85 mm termasuk tahap Park.

Bahagian dalaman Levante Trofeo memiliki pelbagai ciri elegan bagi memberikan persekitaran yang serba mewah. Tempat duduk sports dibalut kulit premium semula jadi “Pieno Fiore” yang asli yang tidak terdapat dalam industri automotif.

Ia diproses untuk memberikan ciri unik selepas beberapa tahun dengan jahitan kontras dan logo “Trofeo” yang disulam pada bahagian letak kepala.

Tombol rotari pada konsol di bahagian tengah bawah ialah komponen aluminium tempaan berkualiti tinggi yang menawarkan kawalan audio dan fungsi sistem infotainmen lain secara intuitif.

Personaliti Trofeo Launch Edition diserlahkan lagi dengan perincian dalaman baharu dengan kemasan gentian karbon 3D Touch, penukar gear, grafik kelompok instrumen khas, alas lantai dengan lencana logam Trofeo dan jam Maserati dengan dail yang unik.

Sistem audio keliling premium Bowers & Wilkins dengan 17 unit pembesar suara 1,280 watt pula menawarkan kualiti pengalaman bunyi seperti berada dalam dewan konsert.

Tiga pilihan warna unik yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ialah biru (Blu Emozione Matte), kuning (Giallo Modenese) dan merah (Rosso Magma) bersama   pakej Nerissimo.

Penampilan Launch Edition dipertingkatkan lagi dengan roda aloi Orione 22 inci dan angkup brek berprestasi tinggi yang sama dengan warna badan. Jentera itu juga dipadang dengan kemasan gentian karbon pada bahagian bampar, skirting sisi dan bonet.  

Jentera itu hadir dengan jaminan standard selama tiga  3 tahun, tanpa had perbatuan dengan program penyelenggaraan percuma untuk 3 tahun/60,000km (mana-mana tiba dahulu).

Pemilik Maserati Levante Trofeo Launch Edition akan menikmati program jaminan ‘Serenity’ selama 7 tahun.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button