Buletin

PADA 2000, CL 55 AMG F1 LIMITED EDITION DIPERKENAL – MAHAL, TERHAD DAN ‘RARE’

Teknologi kereta lumba untuk jalan awam. Itulah panduan falsafah yang digunakan Mercedes-Benz semasa mempersembahkan CL 55 AMG F1 Limited Edition pada penghujung Mei 2000.

Model ini satu daripada coupé mewah dalam siri C 215 yang dikeluarkan dari 1999 hingga 2006. Spesifikasi teknikal dan reka bentuk dibina mengikut Kereta Keselamatan Formula Satu pada masa itu yang dipandu oleh Bernd Mayländer.

Menjadikannya eksklusif ialah jumlah dikeluarkan hanya terhad kepada 55 unit dan satu lagi faktor ialah harga yang ditawarkan iaitu DM 330,000 (RM820,632/tukaran sekarang).

Secara automatik CL 55 AMG F1 Limited Edition adalah collector’s item sejak dari awal lagi dan satu daripadanya disimpan sebagai koleksi kenderaan Mercedes-Benz Classic.

Bahagian luar yang tenang dan anggun menyembunyikan kuasa model ini. CL 55 AMG F1 Limited Edition dibekalkan enjin AMG 5.5 liter V8 prestasi tinggi.

Enjin tersebut mempunyai output 360 hp pada 5,500 rpm dan tork 530 Nm pada 3,150 rpm hingga 4,500 rpm. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

Satu fakta menarik atau perkara utama mengenai model ini ia adalah kereta yang sah di jalan raya (street legal) pertama di dunia menggunakan brek seramik.

Semasa pembrekan penuh dari kelajuan maksimum, kuasa pembrekan yang dibekalkan ialah sehingga 1,471 kW (2,000 hp).

Prestasi luar biasa disumbang oleh cakera daripada fibre-reinforced ceramic dan angkup brek dengan lapan omboh yang dibangunkan oleh pembekal iaitu Brembo.

Teknologi tersebut adalah sesuatu yang baharu untuk kereta produksi pada masa itu.

Di antara kelebihannya ialah sensitif pada tindakan pembrekan, tahan termal tinggi dan cakera brek 60 peratus lebih ringan berbanding cakera besi konvensional.

Hasil daripada pengurangan berat tersebut membolehkan pemandu merasai karakter kereta lebih baik dari segi dinamika dan keseronokan pemanduan.

Cakera brek coupé ini dihasilkan sendiri Mercedes-Benz melalui proses teknologi tinggi di kilangnya yang terletak di Esslingen-Mettingen.

Dari segi gaya, CL 55 AMG F1 Limited Edition tampil elegan dengan kelengkapan AMG seperti roda aloi ringan 19 inci, 8.5 inci di depan dan 9.5 inci di belakang.

Kombinasi tayar ialah 255/40 ZR 19 untuk depan dan 285/35 ZR di belakang. 

Pengendalian kereta dibantu oleh suspensi Active Body Control (ABC) untuk pengalaman pemanduan dinamik dan dilengkapi beberapa teknologi lain seperti sistem brek anti kunci, Bantuan Brek dan Program Penstabilan Elektronik (ESP®).

Coupé ini hanya ditawarkan dalam warna brilliant silver metallic dan dibezakan dengan model lain melalui identiti menyerupai Kereta Keselamatan Formula Satu seperti perkataan F1 Limited Edition pada beberapa bahagian iaitu sisi kereta, pelapik ambang pintu dan konsol tengah yang mempunyai nombor siri.

Kelengkapan lain ialah kerusi balutan kulit hitam-perak dengan sulaman AMG, stereng sport AMG balutan kulit, panel dengan elemen gentian karbon dan karpet lantai juga dengan logo AMG.

Melalui model ini, Mercedes-Benz membuktikan kereta yang rare atau collector’s item tidak perlu penampilan ekstrem. Cukup melalui penampilan sleeper sebegini dan mendahului kereta lain melalui teknologi.

BACA: MERCEDES MULTI SPARK IGNITION, 5X PENCUCUHAN DALAM 1 MILISAAT. LEBIH JIMAT PETROL

BACA: SELAMAT TINGGAL MERCEDES X-CLASS! TAMAT PADA MEI 2020

BACA: smart KINI DI BAWAH GEELY DAN MERCEDES-BENZ

Kredit foto: Mercedes-Benz

Google ads
Back to top button