
SCOMADI LANCAR TURISMO TECHNICA 125 DI JEPUN. BERMULA RM15K
Jika bercakap tentang skuter premium dengan gayaan klasik, kita tidak boleh lari daripada jenama Vespa. Mendominasi pasaran di seluruh dunia, Vespa cukup sinonim sebagai skuter gaya hidup yang diminati ramai.
Namun, ia tidak menghalang jenama lain untuk meniru formula skuter klasik. Perkembangan itu boleh dilihat daripada pengeluar Jepun dan China. Malah, pengeluar motosikal berskala kecil juga mengambil pendekatan yang sama.
Antara contoh yang paling jelas ialah Scomadi, jenama dari Britain yang ditubuhkan pada tahun 2005. Beribu pejabat di London, skuter awalnya dihasilkan di China oleh Hanway Motors sebelum dipasarkan di United Kingdom sebagai Scomadi.

Sejak dahuli lagi, Scomadi memposisikan dirinya sebagai jentera custom. Contohnya ialah model TL300 yang dijual dalam jumlah terhad.
Pada tahun 2017, Scomadi membuka kilang di Thailand selepas berpisah dengan Hanway Motors. Perkembangan itu dilihat lebih baik untuk pasaran Asia dan ia memperkenalkan model Turismo Technica pada acara Bangkok International Motor Show.
Pada tahun 2020, Scomadi membuka sebuah kilang baharu di Thailand dan terus menghasilkan model TT 125 serta Technica 125 yang lebih sporty.

Tahun ini, Scomadi masuk ke pasaran Jepun menerusi model Turismo Technica 125 yang jelas diinspirasikan daripada model Vespa PX150. Tetapi, jentera itu lebih unik dengan enjin dan bahagian bawahnya terdedah. Ini membuatkan penampilannya lebih sporty dan custom.
Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 124.6cc dengan sistem penyejukan udara. Badannya diperbuat daripada gabungan plastik dan besi. Antara ciri moden yang ada termasuklah slot USB dan port USB C.
Model TT 125 ditawarkan pada harga 517,000 yen (RM16,630), manakala Technica 125 berharga 482,000 yen (RM15,570) seunit.




