Buletin

PEMAJU LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM BERNILAI RM7 BILION TARIK DIRI

Pemaju yang dipertanggungjawabkan untuk membina lapangan terbang antarabangsa Kulim bernilai RM7 bilion dilapor menarik diri atas desakan kerajaan negeri Kedah. 

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), seorang pegawai kanan negeri Kedah mengesahkan perkembangan itu dan ia dinyatakan sendiri oleh pemaju ECK Development Sdn. Bhd. (ECK) pada Mei lalu. 

Pegawai itu juga memberitahu ECK gagal untuk menyempurnakan bayaran deposit pemerolehan tanah sekurang-kurangnya RM2 bilion kepada kerajaan negeri. 

Kini, terdapat tujuh hingga lapan syarikat menyatakan minat untuk melaksanakan projek berkenaan. Ia sedang dinilai oleh syarikat milik kerajaan negeri, KXP Holdings Sdn. Bhd yang juga akan bertanggungjawab atas aspek pengurusan lapangan terbang itu. 

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor menyatakan kegagalan untuk memenuhi terma dan syarat projek akan membuatkan perjanjian terbatal. Maka, ECK terpaksa melepaskan projek tersebut. 

Pada April, ECK menafikan tuduhan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir bahawa ia mendapat durian runtuh daripada projek itu tanpa mengeluarkan belanja sesen pun. ECK juga menafikan terlibat dalam satu projek perumahan. 

Berdasarkan kepada laporan The Star, ECK dan Ivory Properties Group dikatakan bersetuju untuk membangunkan sebuah projek perumahan seluas 54 hektar di tanah projek Aerotropolis. ECK telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kedah pada 2 Ogos untuk membina sebuah lapangan terbang di atas sebidang tanah seluas 1,700 hektar berhampiran Sungai Petani.   

Kemudahan itu dijangka dapat mengendalikan sehingga 15 juta penumpang setahun. 

ECK bersetuju untuk membelanjakan sebanyak RM6 bilion untuk fasa pertama projek itu, termasuklah kos pembelian tanah. Manakala RM1 bilion lagi untuk fasa terakhrir melibatkan projek pembangunan bercampur-campur Aerotropolis. Kerajaan negeri menjangkakan dapat melihat penerbangan pertama pada tahun 2026. – FMT

Google ads
Back to top button