Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG PERODUA D66B, SUV SEGMEN B YANG BARU

Selepas selesai melancarkan beberapa model yang mendapat sambutan hangat seperti Perodua Ativa, Perodua Alza dan juga Perodua Axia generasi kedua, Perodua sebenarnya tidak duduk diam dan senyap-senyap berusaha untuk menghasilkan sebuah lagi SUV yang baru untuk pasaran. Berikut ialah maklumat kami berjaya kumpul buat masa ini dan diringkaskan seperti berikut:

1. Kod projek – buat masa ini projek ini dibangunkan oleh Perodua dengan menggunakan kod D66B. Tapi menurut sumber kami, projek ini juga akan dibangunkan secara bersama-sama dengan Toyota dengan satu lagi kod yang diberi nama D03B. Ini bermakna terdapat 2 varian yang akan dihasilkan nanti, 1 varian Perodua/Daihatsu dan 1 varian Toyota

2. Platform – dengan huruf D berada di depan kod projek, platform yang digunakan adalah platform Daihatsu New Global Architecture-B, khusus dibangunkan oleh Daihatsu dan Toyota bagi pasaran negara membangun. Platform ini juga telah digunakan pada model Perodua Alza, Toyota Veloz dan juga Toyota Vios

3. Saiz Platform – Huruf B yang digunakan dalam projek ini membayangkan saiz kenderaan ini berada dalam segmen B manakala Ativa pula berada dalam segmen A. Saiz platform pula boleh dianggarkan dengan merujuk kepada jarak antara roda yang telah digunakan pada model model yang telah dihasilkan.

Sebagai contoh Perodua Alza/Toyota Veloz menggunakan jarak antara roda 2750mm manakala Toyota Vios pula menggunakan saiz 2620mm. Besar kemungkinan jarak antara roda yang digunakan adalah antara 2620mm dan tidak melebihi 2750mm. Perodua Ativa pula datang dengan jarak antara roda 2525mm

4. 5 tempat duduk – Buat masa ini tiada model Toyota atau Daihatsu yang dihasilkan dengan saiz yang sama dengan menggunakan platform DNGA-B. Bagi Toyota Yaris SUV pula yang dijual di Eropah, ia dihasilkan dengan menggunakan TNGA-B yang lebih mahal. Jarak antara roda yang dianggarkan sangat sesuai untuk sebuah SUV 5 tempat duduk dalam segmen B

5. Trenkuasa – paling mudah ialah Perodua/Toyota menggunakan trenkuasa yang terbukti boleh diharap serta paling ekonomi iaitu gandingan enjin 2NR-VE 1500cc dual VVT-i dan juga transmisi Dual Mode CVT (DCVT) yang telah digunakan pada Toyota Veloz/Perodua Alza/Perodua Myvi dan juga Toyota Vios

Enjin ini menjana sekitar 105 kuasa kuda dan 138Nm tork sebenarnya sudah cukup untuk menggerakkan sebuah SUV segmen B dengan berat antara 1000kg ke 1170kg dengan mudah. Sebarang kekurangan kuasa enjin akan ditutup dengan penggunaan transmisi dual mode CVT.

6. Turbo – satu lagi pilihan trenkuasa ialah unit 1KR-VET 3 silinder 1000cc yang menjana 97 kuasa kuda dan 140Nm tork. Kelebihan enjin ini ialah ia menawarkan tork maksima pada RPM enjin yang lebih rendah iaitu pada 2400 RPM sahaja berbanding dengan 4200 RPM jika menggunakan enjin 2NR-VE

7. Hybrid – seperti yang kita sedia maklum, Perodua juga sedang menguji sistem hibrid pada Perodua Ativa Hybrid. Sistem ini menggunakan motor elektrik yang berkuasa 104 kuasa kuda dengan 170Nm tork dengan enjin bertindak sebagai sistem pengecaj.

Namun pada hemat kami, ia masih terlalu awal untuk digunakan dan mungkin pembekal tempatan masih belum bersedia untuk membangun dan membekalkan komponen sistem hibrid kepada Perodua

8. Pelancaran – berdasarkan status pembangunan projek semasa, projek D66B ini akan siap dilancarkan pada bulan Jun 2024 nanti dengan kerja-kerja pembangunan sedang giat dijalankan. Ujian percubaan pemasangan (pilot production) kemungkinan akan dibuat seawal suku pertama tahun 2024 nanti

9. Teknologi moden – berdasarkan penawaran ciri moden pada Perodua Alza, kemungkinan besar SUV D66B ini akan menerima pelbagai ciri moden seperti skrin multimedia sesentuh dengan sambungan Apple Car Play dan juga Android Auto

Sistem keselamatan pula akan menggunakan sistem ASA 3.0 seperti brek kecemasan automatik, amaran brek pra-perlanggaran, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, serta pemanduan automatik tahap dua, sistem amaran titik buta dan kamera 360 darjah. Lampu depan juga akan ditawarkan dengan ciri Adaptive Driving Beam

10. Harga – dengan kenaikan kos harga bahan mentah dan nilai Ringgit yang semakin lemah, agak sukar untuk kita menganggar harga SUV D66B nanti. Bagi mengelakkan pertindihan harga antra model lain seperti Perodua Aruz (SUV segmen B 7 tempat duduk) dan juga Perodua Alza, mungkin harga permulaan SUV ini adalah pada RM 70,000 dan maksima pada RM 80,000.

Google ads
Back to top button