Buletin

COVID-19: MAHB PASANG PENGIMBAS HABA TERKINI, PENGAWAL BERSIN DI 19 LAPANGAN TERBANG

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang memasang pengimbas haba terkini dan lebih banyak pengawal bersin di 19 lapangan terbang di seluruh negara sebagai usaha berterusannya dalam membebaskan lapangan terbang daripada ancaman Covid-19.

Pengendali lapangan terbang itu berkata sejumlah 23 pengimbas haba baharu dan 600 unit pengawal bersin (kepingan penahan bersin) akan dipasang di semua 19 lapangan terbang miliknya.

“Dua belas lapangan terbang, selain Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA atau KUL mengikut kod Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa) telah selesai pemasangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, 12 lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Subang, Lapangan Terbang Terengganu, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Labuan, Lapangan Terbang Alor Setar, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Kota Bharu dan Lapangan Terbang Miri.

Sejumlah tujuh lapangan terbang lagi sedang menjalani pemasangan termasuk Lapangan Terbang Ipoh, Lapangan Terbang Kuantan, Lapangan Terbang Melaka, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Limbang, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Lahad Datu. Ia dijadualkan siap pada hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata sejak bermulanya pandemik itu, MAHB tidak berhenti meneroka cara dan kaedah bagi membantu mengurangkan risiko Covid-19.

“Kumpulan menganggap ini sebagai sebahagian daripada kewajipan MAHB untuk membantu memastikan negara kita selamat. Kami telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain yang berkaitan, terutamanya melalui jawatankuasa bersama dalam jawatankuasa KUL COVID.

“Kami merintis penyelesaian teknologi terkini di KUL terlebih dahulu sebelum memperkenalkannya di lapangan terbang lain disebabkan KUL menjadi hab majoriti penumpang kami,” katanya.

Mohd. Shukrie berkata, MAHB terus komited dalam mengekalkan tahap keselamatan tertinggi tanpa menjejaskan tahap perkhidmatan memandangkan reputasi KUL sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia.

“Adalah penting bahawa untuk kami menyesuaikan normal baharu dalam perjalanan udara sambil memberikan pengalaman lapangan terbang yang lancar kepada penumpang kami,” katanya lagi. – Bernama

Google ads
Back to top button