
ARKITEK DAN PEMINAT PORSCHE INI PINDAH KE HUTAN, SIAP DENGAN TRAKTOR PORSCHE!
Seorang pereka, arkitek dan peminat Porsche, Bruno Jakobsen telah membina rumah impian beliau di kawasan hijau di Randers, Denmark.
Sebuah bangsal yang dipanggil Barnhouse Box baru saja siap dan dikhaskan untuk Porsche 911 S 2.7 Targa (G-Series) milik beliau.
Ada tak yang mempunyai impian begini? Rumah cantik di kawasan hijau dan kereta sport Porsche.
Kesemua yang ada di dalam Barnhouse Box diilhamkan dari Porsche tahun 1974 beliau yang berwarna Hitam Satin.
Pada dinding terpampang logo Porsche dan turut menyimpan barang lain seperti stereng, rim Fuchs dan spoiler besar 911 Turbo (930).
Jakobsen telah memiliki 911 selama lebih sepuluh tahun dan minat beliau turut dikongsi oleh isteri dan sepasang anak lelaki dan perempuan.
Berpindah dari bandar ke kawasan terpencil bukan mudah dan memerlukan masa sebelum beliau berjaya memujuk isteri.
Jakobsen sebenarnya bukan memiliki sebuah tetapi dua buah Porsche. Bukan juga kereta sport tetapi traktor Porsche Junior 1960 yang telah dibaik pulih sepenuhnya oleh pemilik sebelum ini.
Apa yang menarik ialah beliau bukan hendak bertani tetapi hanya untuk berseronok.
Beliau benar-benar menikmatinya dan lengkap dengan baju overall yang memang dibeli untuk dipakai apabila keluar bersama si Junior.
Lebih lengkap apabila beliau memelihara dua ekor kambing dan tiga ayam yang ditempatkan bersebelahan rumah.
Jakobsen menamakan idea awalnya untuk rumah baru di tengah hutan tebal sebagai The Nordic Barnhouse Project pada musim panas 2019.
Beliau mula berkongsi di media sosial pada awal 2020 dan kini mempunyai ratusan ribu pengikut.
Dalam membangunkan rumah Jakobsen seorang yang teliti dan mengambil masa kira-kira setahun bagi memerhati pergerakan cahaya di sekeliling.
Kediaman beliau kini terdiri daripada rumah utama, rumah tanaman, garaj dan Barnhouse Box yang baru siap. Di luar pula terdapat tempat mandi, kolam kecil dan sauna.



















