Motosikal

SUZUKI SV650 ABS MALAYSIA FINAL EDITION DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – RM29,900

Antara motosikal ikonik dari keluarga Suzuki, SV650 kini boleh didapati dengan harga hanya RM29,900 bagi model terbaru, SV650 ABS Malaysia Final Edition. 

Menerusi namanya, kami difahamkan ini adalah model terakhir SV650 untuk pasaran Malaysia sekaligus model dipacukan enjin V-Twin itu tidak lagi akan kelihatan selepas kesemua unit Final Edition ini terjual. 

Difahamkan, SV650 ABS Malaysia Final Edition ini merupakan edisi terhad dengan hanya beberapa ratus unit sahaja akan ditawarkan. 

Bagi pasaran Malaysia, terdapat tiga warna ditawarkan; Pearl Vigor Blue/Matte Blac Metallic, Pearl Matte Shado Green/Matte Black Metallic dan Matte Black Metallic. 

Selain dari warna, segala kelengkapan lain adalah sama seperti model yang ditawarkan sebelum ini termasuk dijana enjin V-Twin 90-darjah 645cc DOHC yang berupaya menjana 68.2hp pada 8,900rpm dan 64Nm. 

SV650 ABS ini merupakan motosikal yang agak ringan bagi kelasnya dengan hanya seberat 198kg dengan tangki bahan api berkapasiti 14.5L. 

Walaupun merupakan antara model lama dipasaran dunia namun SV650 ABS ini lengkap dengan ciri terkini termasuk ABS dwi-saluran, Suzuki Easy Start dan fungsi Low RPM Assist. Panel meter pula mengguna pakai jenis digital LCD. 

Untuk pasaran Malaysia, SV650 ABS Malaysia Final Edition ini merupakan model yang diimport sepenuhnya dari kilang Hamamatsu di Jepun. 

GALERI: SUZUKI SV650 ABS MALAYSIA FINAL EDITION

Google ads
Back to top button