RIDER MENGAMUK TENDANG YSUKU KENA TARIK SEBAB 3 TAHUN TAK BAYAR ANSURAN
Tindakan agresif penunggang p-hailing yang dirakam merosakkan motosikal miliknya sekitar pusat beli belah, IOI Puchong, dipercayai kerana kenderaan itu mahu ditarik susulan bayaran tertunggak hampir tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, insiden itu berlaku pada 11 September lalu, kira-kira pukul 3.10 petang.
“Pemilik motosikal (suspek) tidak berpuas hati dengan penarikan motosikal disebabkan mempunyai tunggakan bayaran selama 34 bulan.
“Suspek bertindak menendang motosikalnya sendiri sebelum diserahkan kepada agen tarik kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, laporan tarik motosikal dibuat oleh ejen tarik kenderaan pada hari sama di Balai Polis Brickfield.
“Setakat ini, tiada kertas siasatan dibuka berhubung insiden berkenaan,”tambahnya.
Terdahulu, rakaman video pendek berdurasi 8 saat tular di media sosial, memaparkan rider berkenaan menendang sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hijau.
Lelaki terbabit yang memakai uniform t-shirt sebuah syarikat p-hailing dan memakai topi keledar itu menendang berulang kali sebuah motosikal yang sudah dalam keadaan terjatuh.
Tindakan itu menyebabkan beberapa bahagian motosikal berkenaan dilihat mengalami kerosakan dan pecah. – KOSMO! ONLINE