Buletin

ISUZU D-MAX 2024 DILANCARKAN, LIMA VARIAN, JANA 190PS – HARGA BERMULA RM98K

Isuzu D-Max 2024 secara rasmi dilancarkan hari ini, ditawarkan dalam lima varian – Single Cab, Standard, Auto Plus, Premium dan varian flagship X-Terrain dengan tanda harga bermula RM98,949.20.

Isuzu D-Max 2024 didatangkan dengan penampilan yang dipertingkatkan, termasuk aliran udara untuk memastikan kecekapan aerodinamik, sekali gus menjadikannya lebih jimat bahan api.

Antara pembaharuan boleh dilihat dari luar ialah rekaan gril depan lebih menyerlah, lampu depan Bi-LED baharu dan menyepadukan DRL LED bersama-sama dengan isyarat belok dalam reka bentuk yang lebih canggih.

Perincian lain termasuklah rim aloi 18-inci, menerima bampar dan rekaan lampu baharu di bahagian belakang, rekaan pintu ruangan kargo baharu (boleh dikunci untuk X-Terrain) sekaligus memberikan penampilan yang lebih sporty dan moden.

Menjengah dalam kabin, ia menerima kelengkapan seperti tempat duduk dengan corak baharu, skrin infotainment 10-inci iaitu lebih besar berbanding D-Max X-Terrain sebelumnya, Kamera Undur dan kamera 360° dengan panduan imej 3D.

Selain itu, ia juga menerima ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto, Multi Information Display (MID) 7-inci e-Lumax baharu serta sistem audio 8-pembesar suara.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sistem ADAS yang dipertingkat, merangkumi naik taraf kamera stereo yang mampu meningkatkan pengesanan sehingga 120 darjah.

Aspek pemanduan turut dipertingkatkan dengan tambahan ciri baharu Rough Terrain Mode bagi semua model 4×4 Double Cab.

Dengan mengaktifkan mod berkenaan, sama ada dalam pacuan 2H, 4H atau 4L, cengkaman akan dipertingkat dengan sistem menguruskan agihan kuasa secara langsung.

Ciri ini akan meningkatkan keyakinan pemilik untuk mereka yang tidak arif dengan pemanduan off-road.

Dari segi kuasa, ia dikuasakan oleh enjin 3.0 liter dan 1.9 liter turbodiesel, di mana ia masing-masing menghamburkan kuasa 190PS dan 150PS dan 350Nm.

Nadi berkenaan dipadankan bersama pilihan transmisi manual 6 kelajuan atau automatik 6 kelajuan.

Beralih pada harga pula, perinciannya adalah seperti dinyatakan di bawah:

Single Cab:

  • Standard 3.0L (MT) – (RM105,888)
  • Standard 1.9L (MT) – (RM98,949)

Double Cab (AT):

  • Flagship X-Terrain – (RM157,938)
  • Premium 3.0L – (RM141,138)
  • Premium 1.9L – (RM134,649)
  • Auto Plus 4×2 1.9L – (RM109,499)
  • Standard 1.9L(AT) – (RM116,999)

 Double Cab (MT)

  • Standard 1.9L(MT) – (RM109,599)

Untuk maklumat lanjut berkaitan Isuzu D-Max 2024, sila layari pickuptruck.isuzu.net.my

GALERI:

Google ads
Back to top button