GENEVA MOTOR SHOW TELAH DIBATALKAN – KALI INI UNTUK SELAMANYA
Geneva Motor Show yang diadakan saban tahun di Geneva, Switzerland merupakan antara pameran automotif yang tertua di dunia. Ia sudah berusia 119 tahun tapi sayangnya kini ia bakal tinggal sejarah. Pihak penganjur pameran telah mengumumkan dalam laman Facebook mereka yang pameran tersebut akan dibatalkan untuk selama-lamanya berikutan cabaran dan saingan yang semakin sengit.
Pameran itu sebenarnya telah beberapa kali tersungkur sejak musim pandemic COVID-19 empat tahun lepas. Wabak tersebut telah memaksa acara tersebut dibatalkan bermula tahun 2020, 2021, 2022 dan 2023. Walaupun ia diadakan kembali pada tahun ini namun ia gagal menarik penyertaan kebanyakan syarikat ternama.
Penganjur bagaimanapun pernah menganjurkan acara berasingan di Qatar pada tahun 2023 dan ia masih akan diteruskan kerana mendapat sambutan yang lebih baik. Acara seterusnya dijangka akan diadakan pada November 2025.
Geneva mula menjadi tuan rumah acara ini pada tahun 1905 dan ia kemudian menyaksikan pelancaran satu demi satu model ikonik yang diperkenalkan kepada dunia. Antaranya ialah Jaguar E-Type, Porsche 917 dan Audi Quattro.
Lamborghini pernah memperkenalkan Countach LP500 di sini dan Ferrari juga pernah menunjukkan LaFerrari hampir sedekad lalu di pameran ini. Kini nampaknya semua dah tinggal sejarah.
Abang sendiri kali terakhir berkunjung ke Geneva Motor Show ialah pada tahun 2001 satu dahulu. Entah-entah Koran sendiri pun tak lahir lagi kan? Pada masa tersebut antara model yang diperkenalkan ialah Jaguar X-Type dan Mini baharu. Disinilah jugalah kali pertama abang berjaya melihat Daihatsu YRV Turbo yang cun melecun depan mata dik.
Kalau nak dikirakan kebanyakan pameran auto memang sedang bergelut lebih-lebih lagi selepas berlaku wabak pandemic COVID-19. Ia memaksa pengeluar kenderaan memilih platform baharu untuk memperkenalkan produk mereka. Pilihan paling popular semestinya menggunakan platform dalam talian dan ternyata ia lebih berkesan dan boleh diakses oleh lebih ramai peminat. Kosnya pun jauh lebih menjimatkan berbanding pameran auto.
Syukurlah juga la Malaysia Autoshow yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan hangat. Ternyata masa depan pameran auto di negara kita masih agak cerah.