
HONDA MALAYSIA SERAH 16 UNIT CIVIC 1.8S KEPADA KPDNHEP
Honda Malaysia hari ini menyerahkan 16 unit model Civic 1.8S kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menjadi penyerahan pertama Honda Malaysia kepada kementerian tersebut, jentera itu bakal digunakan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang oleh KPDNHEP.
“Kami berbesar hati kerana KPDNHEP telah memilih Civic sebagai kereta untuk menjalankan tugas mereka. Kami juga sangat menghargai peranan kementerian dalam melestarikan perdagangan domestik di Malaysia.
“Ini sangat penting ketika kita masih berdepan dengan ancaman penularan COVID-19. Kami harap ekonomi Malaysia akan pulih tidak lama lagi,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

Civic facelift diperkenalkan di pasaran tempatan pada Fabruari lalu. Ia menawarkan ciri segmen D ke dalam sebuah model segmen C. Sejak dilancarkan, lebih 10,400 unit Civic telah terjual. Sekali gus menguasai 81 peratus pasaran segmennya setakat Oktober 2020.
Civic yang merupakan model kedua terlaris Honda di Malaysia cukup dikenali kerana prestasi dinamik, penjimatan bahan api dan penampilan menarik.
Enjin 1.8L i-VTEC menawarkan kuasa mencecah 141PS dan tork 174Nm. Civic turut hadir dengan varian enjin 1.5L VTEC Turbo yang kini dilengkapi sistem keselamatan Honda SENSING.
Dengan rekaan fastback yang bergaya, Civic generasi ke-10 didatangkan dengan pakej lengkap seperti ciri brek parkir elektrik, Walk Away Auto Lock, Remote Engine Start, paparan audio bersaiz 7 inci dan banyak lagi.
Maklumat lanjut tentang Civic dan model-model lain Honda, pelanggan dijemput untukmengunjungi mana-mana 102 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my