SEPARUH KEUNTUNGAN TESLA PADA SUKU KEDUA 2024 DATANGNYA DARI CUKAI
Tesla tidak mencatat hasil jualan suku kedua yang baik untuk tahun 2024, dan keadaan mungkin menjadi lebih buruk jika bukan kerana kerajaan Amerika Syarikat.
Walaupun keuntungan jatuh sebanyak 45 peratus dalam tempoh tersebut, Tesla mendapat manfaat daripada satu sumber penting untuk meningkatkan penyata pendapatan iaitu kredit peraturan.
Lebih separuh daripada keuntungan suku kedua Tesla – lebih daripada A$1 bilion (RM4.5 bilion) – datangnya daripada penjualan kredit ini kepada pembuat kenderaan pesaing yang menggunakannya untuk memenuhi peraturan pelepasan, lapor Wall Street Journal.
Walaupun wang tersebut, yang merupakan keuntungan tulen, bukanlah subsidi secara teknikal, Tesla masih mendapat manfaat besar daripada program Kerajaan – bertujuan membantu pembangunan kenderaan elektrik (EV).
Ironinya, CEO Tesla, Elon Musk, telah lama menyokong penghapusan subsidi kerajaan yang menggalakkan pembangunan EV.
Pada masa yang sama, beliau juga menyokong kuat bekas Presiden Donald Trump untuk kembali ke White House.
Keupayaan Tesla untuk menghasilkan EV yang popular – sehingga mereka memperoleh kredit peraturan untuk dijual kepada pesaing di seluruh dunia – berlaku ketika Musk bercakap tentang bagaimana beliau melihat syarikatnya bukan sebagai pembuat kenderaan biasa, tetapi sebagai syarikat kecerdasan buatan yang membangunkan kereta tanpa pemandu atau robot humanoid.
Kempen presiden Trump telah menjadikan serangan terhadap usaha pentadbiran Biden untuk menyokong EV sebagai sebahagian penting daripada mesejnya.
Pentadbiran Demokrat mempromosikan undang-undang 2022 yang mengaitkan kredit cukai pengguna untuk membeli EV dengan usaha industri untuk menguatkan rantaian bekalan AS.
Usaha ini bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada China untuk bekalan. Presiden Biden juga menaikkan tarif ke atas kereta elektrik China kepada 100 peratus, sementara Trump juga mencadangkan untuk menaikkan tarif.
Musk pernah ditanya secara langsung sama ada penghapusan subsidi EV persekutuan akan menjejaskan keuntungan Tesla semasa panggilan suku kedua pengeluar kereta itu.
Beliau berkata ia mungkin akan memberi kesan, “Saya rasa akan ada sedikit kesan, tetapi saya rasa ia akan menghancurkan pesaing kami. Tetapi dalam jangka panjang, mungkin sebenarnya membantu Tesla.”
- BACA: MV AGUSTA UMUM PENGEMBANGAN GLOBAL, SASAR PENGELUARAN 10,000 UNIT SETAHUN
- BACA: TOYOTA: DIRECT AUTOMATIC TRANSMISSION LEBIH BAIK DARI DSG!!!
- BACA: HONDA CIVIC RS DIPERKENALKAN KE PASARAN JEPUN DENGAN TRANSMISI MANUAL – ARIGATO GOZAIMASU HONDA
- BACA: FORD MAVERICK LOBO – GAYA TRAK PIKAP LOWERED SEPERTI DULU – DULU