Buletin

SINDIKET KERETA KLON TUMPAS. 19 KENDERAAN DIRAMPAS BERNILAI RM3.5 JUTA

Polis menumpaskan sindiket menjual kereta klon yang aktif sejak tiga tahun lalu dan merampas 19 kenderaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Kejayaan itu susulan serbuan Op Lejang di sekitar ibu negara, Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang pada 2 Februari hingga 2 Mac lalu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan di sebuah premis menjual kereta terpakai di Cheras, Selangor dengan merampas sebuah kereta Honda TC-P yang diubah suai nombor casis pada 2 Februari lalu.

Katanya, dalam tindakan Op Lejang selama sebulan itu pihaknya menahan enam lelaki berusia 22 hingga 42 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan terbabit.

“Turut dirampas 19 kereta pelbagai model dianggarkan bernilai RM3.5 juta di beberapa premis menjual kereta terpakai yang disyaki diubah suai nombor casis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Saiful Azly berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mendapatkan kereta gagal dibayar pinjaman, kereta curi serta kereta klon dari Singapura yang diubah suai nombor casis.

Katanya, nombor casis kereta berkenaan akan diubah suai berdasarkan butiran kereta diisytiharkan ‘total loss’ yang diperoleh daripada ahli sindiket atau melalui laman sesawang.

“Ahli kumpulan ini kemudian akan mencari pembeli dan menghantar kereta berkenaan kepada individu terbabit selepas persetujuan harga dicapai.

“Difahamkan kereta itu dijual pada harga RM100,000 hingga RM120,000 setiap satu bergantung kepada model.

“Kami percaya sindiket itu berjaya meraih keuntungan secara purata sebanyak RM600,000 sebulan dengan menjual kira-kira enam kereta setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mengesahkan 16 daripada 19 kereta yang dirampas mempunyai kesan ubah suai pada nombor casis, manakala sembilan lagi kereta berkenaan dilaporkan hilang.

“Dengan tangkapan ini, kami berjaya menumpaskan sindiket kereta klon dan kereta curi yang dipercayai didalangi kumpulan terbabit di Kuala Lumpur, Selangor Johor dan Perak.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki sudah dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di Johor pada 28 Februari dan 1 Mac lalu, manakala selebihnya diberi jamin polis.

Katanya, polis sedang mengesan beberapa saksi untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – HM/Kosmo!

Google ads
Back to top button