KERETA KLON TERBAIK DARI CHINA. JANGAN BACA KALAU ADA ASMA
Intelectual Property Rights atau hakcipta merupakan terma yang digunakan untuk menjamin satu induvidu atau syarikat berkenaan rekaan mereka. Banyak negara maju termasuk Malaysia sudah pun mengambil tindakan dan melindungi hakcipta rekaan asal kerana jika rekaan tersebut berjaya dari segi komersial, maka ia akan membawa keuntungan kepada pemilik asal.
Masalahnya ialah terdapat satu pihak yang cuba meniru dan mengambil keuntungan percuma dari rekaan ini, terutama pembuat kereta dari err China. “Bagus la dia tiru, lama-lama jadi cantik dan bagus. Orang kita tukang komen je” antara komen yang pernah kami dapat. Agaknya masa buat kerja rumah atau assignment, memang kaki tiru agaknya.
Dalam kes Land Rover melawan Jiang Ling Holding (Land Wind X7), Mahkamah di China akhirnya memutuskan Jiang Ling Motor Corporation bersalah dan perlu membayar pampasan kepada Jaguar Land Rover. Ia merupakan satu titik perubahan yang perlu dalam memastikan ekosistem industri yang sihat
Ini senarai kereta yang ditiru dalam industri automotif dan pernah dijual di pasaran.
1. Yema Bojun – ya bagi yang pakar, anda memang tidak salah tengok kerana Bohjan atau Bojun ini sebenarnya ditiru dari Geely Boyue atau Proton X70. Rekaan depan, sisi dan belakang memang sekali nampak sama, kecuali beberapa perincian kecil pada grill dan bampar depan. Kalau abam jual logo Bojun ni agak-agak laku tak?
2. Luxing iStar – ya tak salah lagi, rekaan luar kereta ini terutama pada bahagian depan dan belakang diambil terus dari Mercedes GLC atau A Class. Bahagian sisi pula mirip kepada Perodua Kenari. Tapi ia dikuasakan dengan elektrik dengan jarak 150km sekali cas. Halaju paling tinggi pula ialah 45km/j, Proton Tiara lagi laju…
3. Zotye SR9 – anda tak cukup duit tapi nak bergaya dengan Porsche? Nah beli lah Zotye SR9 ini dengan rekaan depan, belakang dan sisi sama seperti Porsche Macan. Malah anda tak perlu semak kepala dengan cukai jalan keran crossover ini hanya dikuasakan dengan enjin 2000cc turbo 190 kuasa kuda. Tukar sahaja logo di depan dan nescaya anda berjaya memikat anak tok imam dengan sekali kenyit mata.
4. Liu Shengqi – anda nak pakai supercar ala-ala Pagani Huayra tapi poket tak cukup tebal? Jangan risau, boleh cuba beli Liu Shengqi namun ia hanya ditawarkan dalam versi elektrik 4 kuasa kuda dengan jarak perjalanan 80km untuk sekali cas. Kelajuan maksima pula ialah 40km/j, cukup sesuai untuk anda bersiar-siar mencari rumah sewa. Harganya sekitar RM 25,000 sahaja, lagi murah dari Myvi terpakai.
5. Geely GE (Geely Exellence) – ok tadi kita cerita pasal Boyue ditiru, tapi ini limosin yang ditiru dari model premium paling mahal di dunia iaitu Rolls Royce Phantom. Model ini dihasilkan pada tahun 2010 dengan rekaan jeriji depan yang hampir sama serta rekaan sisi yang sama. Bahagian belakang je lain sikit dan untuk bahagian penumpang belakang, hanya satu tempat duduk sahaja disediakan. Elok juga, mungkin kawan-kawan malu juga nak naik kereta copy ori ni.
6. Lifan 330 – bukan Lipan ye tuan-tuan dan memang ia mengambil rekaan Mini Copper. Cuma bahagian lampu depan buruk sikit, macam dah naik ketumbit. Kalau anda berjalan di luar negara dan nampak kereta ini, jangan sewa melainkan anda berhajat untuk berpindah ke alam barzah dengan segera. Ia mendapat skor 0 bintang dari 5 bintang dalam American Latin NCAP.
7. Suzhuo Eagle Carrie – kalau anda beli kereta ini memang terbaik sebab dari depan ia kelihatan seperti Ferrari California dan dari belakang pula ia kelihatan seperti Porsche Cayman. Kalau anda kenyit mata, anak YB pun terpikat dari jejaka kampung yang pakai Honda second. Tapi logo kereta ini tiru logo Porcshe dengan lambang burung. Haa macam ni la nak tiru, sekali logo pun kita rembat.
8. Baic Huansu -bagi peminat jentera Itali, jangan risau kerana anda boleh beli copy ori Lamborghini Urus dengan harga sekitar RM 60,000 sahaja. Ia dibekalkan dengan enjin 2000cc turbo yang menghasilkan 180 kuasa kuda dan 285Nm tork. Usah malu usah segan, baik beli kereta ni dari beli kereta scrap Singapura kan.
9. CH Auto Lithia – ok kali ini kita tiru rekaan Audi R8 yang selalu Ironman pakai. Cuma ia menggunakan teknologi elektrik dengan menggunakan motor elektrik yang menghasilkan 201 kuasa kuda dan 220Nm tork, power jugak la kan
10. Youxia Ranger X – ok, rekaan kereta ini harus dipuji sebab bahagian depan dan sisi nampak macam Tesla Model S. Bahagian belakang pula nampak macam Lexus LC500. Jadi kalau anda beli memang untung sebab dapat 2 kereta pada satu harga. Sistem infotainment dia mendengar arahan suara diberi nama KITT (macam cerita Knight Rider).
11. Ora R1 – kereta elektrik ini pula, seperti yang anda boleh teka ditiru daripada Honda E dari semua aspek rekaan baik dari depan, belakang dan bahagian sisi menggunakan rekaan SmartFour. Ia dikuasakan dengan motor elektrik 47 kuasa kuda dan jarak pemanduan 300km bagi pengecasan penuh.
12. Wiekerui V7 – apa yang membezakan kereta ini dengan Volkswagen UP ialah ia lebih lebar 4mm dan 17mm lebih tinggi. Dari aspek lain memang copy ori bulat-bulat termasuklah dari segi rekaan logo. V7 dikategorikan sebagai Low Speed Electric Vehicle ditawarkan dengan motor 9kW, halaju maksima 50km/j dan jarak pemanduan 120km.