Buletin

FERRARI SUDAH TIDAK POPULAR. CARIAN GOOGLE JATUH 35.3% DALAM TEMPOH 10 TAHUN

Ada banyak cara untuk mengukur populariti sesebuah jenama kenderaan. Antaranya ialah berdasarkan kepada jumlah carian di Google menerusi Google Trends. 

Baru-baru ini, laman web perbandingan harga kenderaan di United Kingdom, Compare the Market menggunakan data Google Trends untuk melihat perubahan populariti jenama kereta di dunia dalam tempoh 10 tahun. Data  yang diambil itu melibatkan tahun 2010 hingga 2020. 

Menurut kajian tersebut, lima jenama yang populariti mereka menjunam sejak tahun 2010 ialah Fiat, Citroen, Vauxhall, Mitsubishi dan Ferrari. Jenama yang lain itu kita boleh faham, tetapi Ferrari sudah tidak popular? Biar betik. 

Ya. Jenama mewah dari Itali itu menyaksikan carian Google di seluruh dunia merosot sebanyak 35.3 peratus dalam masa sedekad. Perkembangan ini agak mengejutkan kerana Ferrari bukannya duduk diam sahaja sepanjang tempoh tersebut.  

Adakah pegeluar yang berpangkalan di Maranello itu sudah semakin jauh dengan para peminatnya, walaupun ia cuba untuk menghasilkan model elektrifikasi? Kami kurang pasti, tetapi usaha ke arah itu telah pun berjalan. 

SUV pertama Ferrari, Purosangue dijangka tiba pada tahun 2023. Biarpun beberapa keping gambar spyshot sudahpun tersebar di internet, namun Ferrari masih mengunci mulut tentang spesifikasi dan perinciannya.  

Persoalannya, mampukah Purosangue menaikkan semula minat orang ramai terhadap Ferrari. Sebagaimana dilakukan oleh Urus terhadap Lamborghini dan Cayenne yang menyelamatkan Porsche suatu ketika dahulu? 

Tidak mustahil strategi memperkenalkan Purosangue akan memberi laba yang besar kepada Ferrari. Apa pun, kita tunggu dan lihat sahaja apakah nasibnya nanti.  

Google ads
Back to top button