Buletin

PORSCHE TAYCAN CROSS TURISMO SUDAH BOLEH DITEMPAH. LANCAR PADA H1 2021

Pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance hari ini mengumumkan bahawa pra-tempahan untuk model terbaharunya, Porsche Taycan Cross Turismo sudah dibuka. 

Dijangka dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, anda boleh membuat tempahan di empat Porsche Centre iaitu di Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang atau Johor Bahru. Sila nyatakan minat anda di laman web berikut: 

Porsche Taycan Cross Turismo merupakan varian terkini dalam rangkaian model elektrik keluaran Porsche selepas Taycan mencatat kejayaan besar buat Porsche. 

Porsche menawarkan Taycan Cross Turismo menerusi empat varian: 

  • Taycan 4 Cross Turismo (380 PS, Overboost 476 PS). Jarak operasi: 389-456km
  • Taycan 4S Cross Turismo (490 PS, Overboost 571 PS). Jarak operasi: 388-452km
  • Taycan Turbo Cross Turismo (625 PS, Overboost 680 PS). Jarak operasi: 395-452km
  • Taycan Turbo S Cross Turismo (625 PS, Overboost 761 PS). Jarak operasi 388-419km

Semua varian didatangkan dengan pek bateri Performance Battery Plus berkapasiti 93.4kWh.

Pek bateri itu membolehkannya bergerak sejauh 388 hingga 456km bergantung kepada varian yang dipilih. Apa yang lebih menarik, jarak operasi boleh ditambah sebanyak 100km jika dicaj menggunakan sistem pengecasan pantas. 

Jentera berkenaan mengekalkan rekaan model konsep Mission E Cross Turismo yang dipertontonkan kepada umum pada acara Geneva International Motor Show 2018.

Rekaan wagon boleh dilihat dengan jelas pada garis bumbung yang panjang. Manakala elemen sebuah jentera off-road pula diserlahkan menerusi cladding pada arca roda.  

Antara ciri penting yang dipasang ialah seni bina elektrik berkuasa 800 voltan, pacuan semua roda Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan fungsi Smartlift, mode pemanduan Gravel untuk mengharung laluan off-road serta sistem pacuan semua roda. 

Apabila melalui jalan off-road, suspensi Taycan Cross Turismo boleh dinaikkan setinggi 30mm dari permukaan tanah. Jika mahukan pemanduan yang lebih dinamik di atas lebuh raya, sistem Porsche Active Aerodinamics (PAA) akan merendahkan kembali suspensi bagi mengurangkan tahap pekali seretan. 

Bagi membuatkan model crosssover wagon itu lebih versatil, kargonya memiliki keluasan lebih 1,200 liter dan menawarkan ruang kabin yang luas. 

Tidak cukup? Pelanggan boleh mendapatkan pakej aksesori yang merangkumi kotak bumbung dan mampu bertahan pada kelajuan mencecah 200km/j. 

Porsche juga ada menawarkan basikal elektrik e-Bike Sport dan e-Bike Cross yang dibina menggunakan gentian karbon serta diinspirasikan daripada rekaan Taycan. Jika anda membeli rak belakang, tiga unit basikal itu boleh dibawa tanpa sebarang masalah. 

Berapa harganya? Di Jerman, Taycan Cross Turismo ditawarkan pada harga 93,635 euro (RM457,200). Kalau di Malaysia, harganya pasti lebih sekali ganda. 

GALERI

Google ads
Back to top button