Artikel Pilihan

SIR ROGER MOORE – BELIAU LAH JAMES BOND ASLI DAN IKON KERETA EKSOTIK

Aktor terkenal Roger Moore yang merupakan salah seorang yang berjaya membawakan watak perisik terkenal James Bond telah meninggal dunia akibat kanser pada usia 89 tahun. Sebentar. Kenapa perlu ada berita asal pelakon filem dalam laman web permotoran?

Ini kerana dengan membawakan watak James Bond dan The Saint, Moore juga telah menjadi satu ikon dalam dunia permotoran kerana secara tidak langsung terlibat dalam mempopularkan kereta-kereta tersohor di layar perak.

Aksi Moore paling popular tentulah dalam salah satu filem James Bond bertajuk The Spy Who Loved Me di mana beliau menggunakan kereta Lotus Esprit yang mampu menyelam ke dasar laut.

Kereta itu menjadi salah satu model Lotus paling popular dan menarik perhatian ramai peminat termasuklah Elon Musk, CEO Tesla yang juga telah membeli Lotus Esprit yang digunakan oleh Moore dalam filem tersebut dengan harga USD967,000 pada tahun 2013.

Malah beliau juga memasukkan imej Lotus Esprit tersebut di dalam sistem paparan multifungsi Tesla Type S.

BACA: LOTUS EVORA 410, INSPIRASI JAMES BOND

Namun bukan itu sahaja saat kegemilangan Moore berkaitan automotif. Dalam dua lagi siri Bond, watak yang dimainkan oleh Moore turut melakukan aksi stunt yang cukup mengkagumkan sehingga ke hari ini.

Contohnya dallam filem The Man With The Golden Gun, Moore memandu AMC Hornet melompat tanjakan sambil membuat satu pusingan di udara. Walaupun nampak mustahil dan agak kartun, aksi lagak ngeri tersebut memang diakui sebagai aksi sebenar.

Mengikut laporan The Telegraph, seorang pelajar Universiti Cornell telah membuat simulasi lagak ngeri tersebut dengan menggunakan komputer dengan mengambil kira semua pemboleh ubah seperti kelajuan yang mesti dicapai sebelum membuat lompatan (40 batu sejam).

Aksi tersebut bagaimanapun dijayakan oleh seorang pelagak ngeri British, Loren Willard yang berjaya menghasilkan lompatan pada cubaan pertama, membolehkan beliau menerima bonus £30,000. Cukup banyak pada zaman itu untuk lompatan yang kelihatan  mudah dan agak kelakar. Anda boleh saksikan video di bawah.

Selain daripada itu Moore turut mempopularkan sebuah lagi kereta dalam siri televisyen popular lakonan beliau ‘The Saint’.

Dalam siri itu Moore bergerak ke sana sini dengan menggunakan sebuah Volvo P1800 coupe klasik yang sungguh cantik dan jarang dapat dilihat pada masa kini. Ia cukup popular sebagai satu ikon permotoran sehinggakan Jay Leno turut memaparkan model itu dalam siri Jay Leno’s Garage.

BACA: ASTON MARTIN DB10 JAMES BOND AKAN DILELONG

Google ads
Back to top button