SMART MALAYSIA UMUM HARGA BAHARU SMART #1 – HARGA BERMULA RM169K
Selain daripada pembukaan tempahan untuk smart #3, smart Malaysia turut mengemaskini struktur harga baharu bagi model smart #1 Premium dan Pro.
Demi menghargai para pelanggan smart, smart Malaysia menawarkan pakej servis kenderaan empat tahun secara percuma kepada pemilik sedia ada smart #1 Premium dan Pro.
Tambahnya lagi, inisiatif ini menunjukkan dedikasi smart untuk memastikan para pelanggan dihargai dan memupuk komuniti smart dengan lebih kukuh.
smart dengan bangganya menyediakan faedah ini sebagai tanda penghargaan ke atas kesetiaan mereka.
“Dengan menurunkan harga smart #1, kami berhasrat untuk menyatukan pelanggan ke dalam komuniti smart, memupuk kesepaduan dan membolehkan penyertaan penuh dalam ekosistem yang kami sediakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang.
SPESIFIKASI VARIAN PRO DAN PREMIUM.
Varian Pro diserlahkan melalui rim aloi-19 inci dan bumbung halo panoramik serta didatangkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu:
- Digital White
- Laser Red
- Cyber Silver
- Quantum Blue
- Future Green
Di bahagian dalam pula, ia menampilkan trim standard After Dark.
Varian ini dilengkapi bateri LFP berkapasiti 49kWj, menawarkan jarak gerak sehingga 315km berdasarkan kitaran WLTP.
Untuk rekod, #1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2kW, di mana ia memerlukan tempoh selama enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus.
Bagi varian Premium pula, ia hadir bersama lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya serta bateri NMC berkapasiti 66kWh dengan jarak pandu sejauh 440km.
Selain itu, bahagian dalam varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
#1 Premium menawarkan tujuh warna pilihan termasuk Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow serta dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Ia menyokong pengecasan 22kW dan mengambil masa sehingga tiga jam sahaja bagi pengecasan 10 hingga 80 peratus.
Pengecasan pantas DC boleh menampung sehingga 150kW yang berupaya mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro manakala varian Premium menelan masa 29 minit.
Dari segi kuasa, #1 Pro dan Premium dijana oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang, berupaya menghasilkan 272PS dan 343Nm.
Kuasa berkenaan memberi daya pecutan 0-100km/j dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum pula dihadkan 180km/j.
Struktur harga baharu adalah seperti dinyatakan di bawah:
Varian Pro: RM169,000
Varian Premium: RM209,000