Pandu Uji

SMART #1, KEBIMBANGAN JARAK PERJALANAN ADALAH SEJARAH LAMA

Mungkin bagi penulis, membawa EV untuk perjalanan jarak jauh adalah perkara biasa selepas memandu uji beberapa kereta elektrik untuk perjalanan yang sama. Malah penulis berani membawa kereta elektrik ke tempat yang tiada pusat pengecas, dengan hanya berbekalkan granny charger 3 pin sahaja.

Jadi apabila Smart Malaysia menjemput penulis untuk memandu ke Pulau Pinang dari Litar Go Kart di Petaling Jaya, memang sayur je. Ada beberapa sebab kenapa penulis berkata demikian walaupun kami bertolak pada pukul 1 tengahari dalam cuaca terik yang memerlukan penggunaan penyaman udara, dan dengan bateri kurang daripada 80%

Pertama, pertambahan fasiliti pengecasan pantas yang wujud semakin banyak di sepanjang lebuh raya PLUS berbanding dengan sebelum ini. Sekurang-kurangnya DCFC 50KW mampu memenuhkan bateri sehingga 80% dalam masa 30-40 minit sementara anda berehat.

Kedua, teknologi bateri yang semakin maju, dengan ketumpatan tenaga yang tinggi dan juga sistem Battery Management System yang semakin canggih. Walaupun anda memandu pada 100km/jam, ia masih lagi berupaya mencatatkan bacaan purata 15kWh/100km.

Ketiga ialah pengalaman pemanduan sebelum ini membuktikan kebimbangan jarak perjalanan adalah sejarah lama. Mungkin yang menjadi isu sekarang ialah masalah kereta elektrik gagal mengecaj atau pusat pengecasan sedang dikerumuni oleh pengguna EV yang lain.

Bagi menjadikan perjalanan ini lebih menarik, Smart Malaysia menganjurkan energy efficiency challange dimana kumpulan pemandu dengan penggunaan tenaga terendah akan menjadi pemenang. Strategi penulis adalah mudah, pandu pada halaju di bawah 100km/jam dengan halangan aerodinamik boleh diabaikan.

Meminimumkan penggunaan penyaman udara untuk mengurangkan parasitic lost dan akhir sekali mengurangkan rolling resistance pada tayar. Cabaran sebenar dalam ujian ini sebenarnya minda anda mesti kental menahan ujian, menahan diri daripada menekan pedal rapat ke lantai bagi menikmati hamburan kuasa daripada 2 motor elektrik

Motor elektrik ini mampu menghasilkan sekitar 475 kuasa kuda dan 543Nm tork, memecut dari 0-100km/jam dalam masa 3.9 saat sahaja. Dengan halaju maksimum 180km/jam, anda akan rasakan adalah sangat merepek memandu di lebuh raya dengan halaju sekitar 80-90km/jam.

Sedikit sahaja pendakian sebelum Terowong Menora akan meningkatkan penggunaan tenaga elektrik namun jika anda pandai, anda boleh melakukan brek regeneratif ketika menuruni bukit. Peratusan bateri tidak akan meningkat, tapi jarak perjalanan akan bertambah jauh

Proses pengecasan dilakukan di Perhentian Rehat & Rawat Sg. Perak yang menyediakan pengecasan pantas 180kW, berupaya mengecas bateri Smart #1 Brabus daripada 29% kepada 80% dalam masa 26 minit sahaja. Tetapi penulis telah melakukan sedikit kesilapan di sini

Sepatutnya untuk sampai ke Hotel Angsana Teluk Bahang, penulis hanya perlu mengecas sehingga 60% sahaja, memendekkan masa pengecasan kepada 13 minit sahaja. Perjalanan dari R&R Sg. Perak ke Pulau Pinang dibuat dalam keadaan santai, melalui jambatan kedua Sultan Abdul Halim dan seterusnya meredah kesesakan jalan raya

Jalan yang terdekat ialah dengan melalui jalan Balik Pulau, namun jalan yang mendaki akan menyebabkan penggunaan tenaga bertambah. Jalan yang terbaik ialah dengan mengharungi kesesakan jalan di Georgetown, merendahkan lagi penggunaan tenaga dengan teknik brek regeneratif sambil meredah hujan renyai.

Kereta kami sampai pada pukul 8.20 malam, menjadi kumpulan terakhir yang tiba dan menamatkan cabaran kecekapan tenaga dengan purata 16.2kWh bagi setiap 100km perjalanan. Jika kami memulakan perjalanan dengan caj 100%, bateri Lithium ion Nickel Manganese Cobalt ini berupaya dipandu sejauh 400km dengan mudah tanpa memerlukan proses pengecasan

Angka ini sudah cukup untuk memenangi cabaran penjimatan tenaga bagi kategori Brabus, manakala bagi varian Smart # 1 Premium ia mendapat sehingga 14.2kWh bagi setiap 100km. Pada hemat penulis, varian Premium yang menggunakan bateri yang sama adalah lebih cekap tenaga berbanding dengan varian Brabus.

Walaupun memberikan bacaan sekitar 440km jarak pemanduan mengikut standard WLTP, jika purata 14.2 diperolehi ini bermakna varian Premium mampu dipandu sejauh 464km jika dipandu dalam keadaan berhemah. Malah jika dipandu pada halaju 90-100km/jam, bacaannya adalah sekitar 14.9kWh sahaja.

Dari segi ergonomik, walaupun memandu dan duduk di dalam Smart # 1hampir selama 7 jam, namun rasa lenguh badan adalah minima. Aspek pertama yang boleh dipuji ialah sudut pemasangan pedal minyak yang tidak menyebabkan betis terasa penat apabila dipijak dengan lama.

Aspek kedua ialah rekaan kusyen yang dibalut dengan Alcantara ini sendiri menawarkan sokongan baik pada bahagian belakang dan juga kaki penulis menyebabkan semua penumpang boleh duduk dengan selesa dalam tempoh yang lama.

Pada halaju 80-90km/jam, kadar kebisingan di dalam kabin adalah sekitar 64dB sahaja menjadikan penulis dan rakan media yang lain mengumpat dan berbual dengan mudah tanpa perlu menjerit-jerit. Hanya ketika cermin dibuka sahaja barulah kami mendengar bunyi tayar yang bergolek.

Untuk varian Brabus, ia datang dengan kemasan yang lebih berani menawarkan calitan merah pada semua bahagian. Namun bahagian bumbung berwarna merah, dengan badan berwarna cerah menghasilkan imej yang ceria, funky dan nampak muda

Mungkin lebih ceria daripada rekaan Mercedes Benz dan juga Geely yang merupakan pemegang saham terbesar Smart. Varian Brabus turut menerima lampu depan Matrix LED lengkap dengan Adaptive Driving Beam, lampu isyarat membelok dengan animasi, puddle lamp, jeriji depan dengan lampu serta rim 19 inci dengan rekaan agresif

Calitan merah pula boleh ditemui pada lower lip, angkup brek, cermin sisi, kit badan, dan juga spoiler belakang. Bagi pemanduan yang agresif, varian Brabus juga dipasang dengan penyerap hentak lebih keras selain diberikan hiasan yang berbeza untuk ruang dalaman.

Jika varian Premium menggunkan tona berwarna putih, varian Brabus mengenakan warna kelabu berkilat, kusyen Ultrasuede, pedal aluminium, tali keledar berwarna merah serta benang merah selain perehat kepala dengan rekaan lebih sporti

Semua varian diberikan ciri keselamtan ADAS yang lengkap, tapi apa yang membezakan Smart #1 dengan pesaing yang lain ialah sistem brek kecemasan automatik lengkap dengan ciri mengelak. Ciri EMA (Evasive Manuever Assist) akan mengelakkan kenderaan di depan ke kiri atau kanan jalan bergantung pada situasi semasa

Hanya varian Premium dan Brabus diberikan ciri parkir automatik yang membenarkan Smart #1 ini diparkir secara sisi, mengundur atau beberapa cara lain yang tiada dalam pesaingnya. Malah ia boleh diparkir mengikut kehendak pemandu dan akan berhenti secara automatik jika mengesan halangan.

Kereta elektrik ini diberikan jaminan selama 8 tahun atau 200,000km bagi bateri dan 8 tahun atau 150,000km bagi komponen elektrik yang lain. Jaminan kenderaan pula ditawarkan selama 4 tahun tanpa mengira jarak perbatuan, 2 tahun jaminan alat ganti dan bantuan kecemasan tepi jalan 24/7.

Varian Pro dengan bateri LFP 49kWh ditawarkan dengan harga RM 189,000, varian Premium pada harga RM 219,000 manakala varian Brabus pula dijual dengan harga RM 249,000.

Google ads
"
"
Back to top button