Buletin

TOYOTA SIENTA 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, DARI RM60 RIBU SEHINGGA RM97 RIBU

Toyota Sienta generasi ketiga diperkenal di Jepun pada 2022. Berbeza daripada generasi kedua, Sienta tidak dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Sienta menjadi pilihan buat pelanggan yang mahukan kenderaan pelbagai guna (MPV) tanpa saiz besar dan masih boleh memuatkan tujuh penumpang dengan tiga baris tempat duduk.

Berukuran 4.26 meter panjang, 1.69 meter lebar dan tinggi 1.69 meter meletakkanya di dalam saiz sederhana dan membantu pemandu di dalam urusan pemanduan harian.

Selain saiz, enjin juga kecil iaitu 1.5 liter petrol biasa dan 1.5 liter petrol hibrid.

Terbaru Toyota memperkenalkan Sienta 2024 untuk pasaran Jepun. Perubahan yang dibuat tidak besar dengan mengekalkan rekaan sama dan naik taraf kelengkapan.

Sienta dibahagikan kepada tiga varian utama iaitu Z, G dan X untuk kedua-dua rangkaian kuasa petrol biasa dan hibrid.

Selain pacuan dua roda (2WD), pelanggan Sienta hibrid ditawarkan pacuan empat roda elektrik (E-Four) manakala Sienta petrol biasa hanya digerakkan pacuan 2WD.

Kesemua Sienta 2024 dilengkapi Smart Entry (pintu depan dan belakang) dan Start System. Pintu belakang yang boleh ditutup secara automatik juga memudahkan pengguna.

Sienta Z (pilihan untuk Sienta G) pula lebih mudah kerana pintu belakang boleh dibuka dan tutup menggunakan gerakan kaki di bawah kereta.

Pelanggan Sienta Z dan G ditawarkan Kunci Digital yang boleh menggunakan telefon pintar untuk membuka, mengunci dan menghidupkan kereta.

Sienta Z (pilihan untuk Sienta G) dilengkapi skrin paparan dan audio 10.5 inci Plus yang boleh digunakan bersama fungsi Navigasi Terhubung.

Sienta Z dan G (pilihan untuk Sienta X) dilengkapi Skrin Pandangan Panoramik manakala Z hibrid lebih istimewa dengan penawaran pandangan bawah kereta bagi memeriksa keadaan atau halangan jalan.

Satu lagi perkakasan dan ditawarkan untuk semua varian ialah bidai untuk tingkap bagi menyambung kabel elektrik dari dalam ke luar kereta.

Bidai itu dapat mencegah serangga atau hujan memasuki kereta sewaktu berkhemah. Semua varian juga ditawarkan lampu siling dengan nanoe X.

Berkenaan rangkaian kuasa, Sienta digerakkan enjin M15A-FKS 1.5 liter tiga silinder dengan Direct-Shift CVT dan menghasilkan 120 ps pada 6,600 rpm dan daya kilas 145Nm dari 4,800 sehingga 5,200 rpm.

Sienta hibrid pula menggunakan enjin M15A-FXE 1.5 liter tiga silinder yang menghasilkan 91 ps pada 5,500 rpm dan daya kilas 120Nm dari 3,800 sehingga 4,800 rpm.

Enjin dipadan bersama kotak gear eCVT. Motor depan 1NM memiliki kuasa 59 kW (80 ps) dan daya kilas 141Nm.

Motor belakang 1MM bagi model E-Four pula menghasilkan 2.2 kW (3.0 ps) dan 44Nm. Lagi perkakasan elektrik ialah bateri NiMH dengan kapasiti 6.5 Ah.

Selain kelengkapan, Toyota menawarkan warna baharu Platinum White Pearl Mica dan Dark Gray × Urban Khaki (kecuali Sienta X).

Toyota Sienta 2024 ditawarkan di Jepun dari 1,995,200 yen (RM59,881) bagi varian petrol X 2WD lima tempat duduk sehingga 3,234,600 yen (RM97,085) untuk Z Hybrid E-Four tujuh tempat duduk.

Google ads
Back to top button