Buletin

LORI TERBABAS, RUPANYA PEMANDU POSITIF DADAH

Satu klip video viral berkaitan sebuah lori yang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE) adalah disebabkan memandu dalam pengaruh syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

“Pemandu yang berusia 33 tahun itu, hilang kawalan secara tiba-tiba dipercayai tertidur lalu gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

“Selang beberapa minit, sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dari arah sama gagal mengelak dan terlanggar lori tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 54 saat di laman media sosial memaparkan sebuah lori dari lorong kanan di NKVE secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas.

Ramsay berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif methaphetamine.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa dibawah pengaruh dadah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button