" "
Pandu Uji

PANDU UJI: LEAPMOTOR C10 – KABIN MEMANG LUAS, TAPI RASA KE SENTUHAN MASERATI TU? 

Berbanding tiga atau empat tahun lalu, pengguna yang ingin membeli kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sekarang memang dimanjakan dengan begitu banyak pilihan. Bermula dari model murah sehinggalah ultra mewah, semuanya ada untuk dipilih berdasarkan kepada kecenderungan jenama, bentuk badan kenderaan dan ketebalan poket masing-masing.  

Apa yang lebih menarik, polisi kerajaan yang mengecualikan cukai terhadap EV sehingga Disember 2025 membuatkan harga EV sangat kompetitif apabila dibandingkan dengan kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE). Ini menjadi salah satu faktor utama kenapa ramai di antara kita ingin mencuba keseronokan memandu sebuah EV.  

Kebanjiran model EV dengan pelbagai tawaran membuatkan kita sukar untuk membuat pilihan. Jangan bimbang, kerana saya ingin memperkenalkan satu model EV SUV yang mungkin boleh memenuhi keperluan anda dan keluarga. 

Terimalah Leapmotor C10, salah satu jenama daripada keluarga Stellantis yang telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan pada Oktober lalu.

Mula mendapat perhatian ramai, ia sememangnya sebuah EV yang cukup menarik, terutama selepas saya berpeluang menyertai sesi pandu uji selama dua hari dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan pulang semula ke ibu kota keesokan harinya.   

Sebagai sebuah SUV segmen D, C10 hadir dengan rekaan yang evergreen, kemas dan matang. Tidak ada garis-garis tajam atau aksesori yang berlebihan. Jadi, ia sesuai untuk dipandu oleh semua peringkat umur yang tidak mahu terlalu menonjol di atas jalan raya.  

Rekaan bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama LED nipis, lampu kabus dan corong udara pada bahagian kiri dan kanan yang bukan sekadar hiasan, tetapi berfungsi untuk meningkatkan tahap aerodinamiknya.

Di atas hud, terpampang logo LP berwarna krom. LP itu sebenarnya merujuk kepada perkataan Ling Pao, nama yang digunakannya di pasaran China.

Saiz SUV segmen D

Apabila melihat dari arah sisi, jelas kelihatan bahawa C10 bukanlah sebuah SUV yang kecil. Dimensinya yang sepanjang 4,739mm, lebar 1,900mm, tinggi 1,680mm dan tapak roda 2,825mm membolehkannya dibandingkan dengan model-model seperti Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro dari segi saiznya. 

C10 dipasang dengan rim aloi Trident bersaiz 20 inci berwarna gun metal yang dibalut oleh tayar daripada Dunlop e.Sport Maxx berukuran 245/45. Walaupun tidak dilengkapi arca roda berwarna hitam, karekter sebagai sebuah SUV diserlahkan dengan roof rail dan jarak kelegaan tanah yang agak tinggi. 

Secara peribadi, saya sukakan rekaan bahagian belakang C10. Lampu bar LED melintang, spoiler bumbung yang nipis dan gugusan lampu isyarat membelok nipis dengan kemasan hitam membuatkannya kelihatan seperti Porsche Cayenne, tetapi pada harga yang jauh lebih murah. Butang untuk membuka ruang but belakang tidak diletakkan di tempat biasa, sebaliknya diposisikan pada perumah lampu sebelah kanan.  

Anda juga akan perasan bahawa terdapat banyak kamera dan sensor pada bahagian hadapan, tepi dan belakang EV itu kerana C10 dilengkapi dengan 16 sistem bantuan pemanduan ADAS. 

Material mesra kanak-kanak

Sama seperti kebanyakan EV lain, rekaan ruang kabin C10 cukup ringkas dan minimalis. Perkara pertama yang saya perasan ialah kedudukan papan pemukanya yang rendah jika dibandingkan dengan hampir semua kereta pernah dipandu sebelum ini. Kelebihannya, ia memberikan ruang pandang yang lebih luas dan jelas ketika memandu. 

Material yang digunakan pada semua titik sentuhan cukup berkualiti. Sekali gus membuatkan ruang dalaman jentera itu tidak rasa dan nampak murah. Malah, tempat duduknya dibalut dengan upholsteri OEKO-Tex Standard 100 yang mesra kanak-kanak, tidak bertoksik, mudah untuk dibersihkan dan selesa untuk duduk dalam perjalanan jauh. 

Oh ya, buat masa sekarang, Stellantis Malaysia menawarkan dua pilihan warna dalaman iaitu biru gelap (nampak macam hitam) dan coklat, khusus untuk anda yang memilih warna badan hijau. Bagi saya, warna coklat itu terlalu terang dan mungkin lebih mudah nampak kotor dalam jangka masa panjang. 

Pemandu dihidangkan dengan dua skrin beresolusi tinggi bersaiz 10.25 untuk paparan meter kluster dan skrin sebesar 14.6 inci di tengah. Dengan ketiadaan sebarang butang fizikal di papan papan pemuka, anda sudah boleh jangka bahawa semua bentuk kawalan sama ada pendingin hawa, lampu, sistem infohibur, sehingga membuat tetapan cermin sisi perlu dibuat menerusi skrin tersebut. 

Harus diakui bahawa antara muka skrin itu bukanlah yang paling mesra pengguna, perlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Ia juga tidak dilengkapi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Tetapi jika anda tidak boleh hidup dengan ciri berkenaan, jangan risau kerana SA Leapmotor akan mencadangkan dongle terbaik untuk digunakan di dalam C10. Selesai masalah. 

Mengenai navigasi pula, sistem itu telah pun dipasang peta binaan dalam yang bagi saya cukup bagus untuk mencari destinasi dan lokasi pengecasan dengan tepat. Sistem operasi (OS) yang menggunakan chip Qualcomm Snapdragon 8155 itu pula menawarkan pengalaman yang lancar tanpa sebarang senggukan.  

Jadi Macam bos

Biarpun begitu, sistem arahan suaranya agak mengecewakan. Selain tidak dapat memahami arahan dengan baik, tidak banyak ciri yang boleh diaktifkan, sehinggakan saya rasa sistem arahan suara pada kenderaan Proton adalah lebih bagus. 

Meneroka skrin sentuh itu, saya ada terjumpa satu ciri menarik yang dikenali sebagai Nap Mode. Biarpun ia bukanlah ciri yang eksklusif pada C10, tetapi ia membolehkan pemandu dan penumpang untuk relaks di dalam SUV ini sambil diiringi bunyi-bunyi alam seperti hujan, hutan tropika, ombak pantai dan cengkerik. 

Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, anda tidak akan kecewa dengan sistem bunyi yang dihasilkan sendiri oleh Lepmotor. Kalau hendak rasa berada di dalam kelab malam, boleh adjust lampu ambien yang akan menyala mengikut rentak muzik. 

Kalau tidak perlu, jangan beralih ke tempat duduk belakang kerana anda mungkin tidak lagi mahu memandu selepas itu. Ruang yang luas, kerusi selesa serta pencahayaan daripada bumbung panoramik bersaiz besar membuatkan anda mahu menjadi bos dan menggaji pemandu. 

Begitulah yang terjadi kepada salah seorang rakan saya. Dia nampaknya begitu enjoy duduk di belakang sehinggakan rakan dari agensi PR terpaksa rela memandu dari Mentakab sampai ke Mangala Resort di Gambang, Kuantan. Hahaha…

C10 hanya ditawarkan dalam satu varian dengan pek bateri lithium iron berkapasiti 69.9kWh yang menawarkan jarak sehingga 424km (WLTP) dalam sekali caj. Angka itu sudah cukup untuk membawa kami ke Gambang tanpa perlu mengecasnya di tengah jalan.

Tetapi, untuk pulang ke Kuala Lumpur, anda perlu mengecasnya sama ada menerusi DC yang boleh menerima sehingga 84kW atau AC yang akan mengambil masa sehingga 6 jam untuk dicaj dari 30% hingga 80%.  

Saya berpeluang memandu C10 dari Gombak menuju ke Mentakab untuk makan tengah hari. Sedia maklum bahawa ia melibatkan laluan lebuh raya, jalan naik turun bukit di Karak dan laluan kampung. Serius saya impressed dengan kualiti pengendalian dan dinamik pemanduan yang diberikan oleh C10. 

Motor elektrik yang mampu menjana kuasa 218PS dan tork setinggi 320 menawarkan hantaran kuasa linear, tidak terlalu torquey sehingga boleh menyebabkan penumpang belakang rasa kurang selesa. 

Sentuhan Maserati

Untuk sebuah jentera yang besar dan berat hampir 2 tan, C10 tidak memberikan olengan badan yang keterlaluan. Ini mungkin hasil sentuhan daripada Maserati yang membuatkan pengalaman memandu lebih mengujakan. Sterengnya juga memberikan respons yang cukup baik ketika melayan selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi. Cuma, saya kena ingatkan bahawa brek SUV ini berasa agak spongy dan kurang natural. 

Selain itu, keseronokan memandu itu sedikit diganggu dengan sistem ADAS yang membuatkan anda rasa jengkel, sama ada daripada tarikan stereng untuk memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah laluan atau bunyi amaran daripada sensor wajah yang ada pada tiang A SUV ini. 

Untuk makluman, C10 dilengkapi sistem kamera yang boleh ‘memantau’ mata dan akan memberi amaran jika ia mengesan anda mengantuk atau sekadar mengecilkan mata. Kemudian, amaran bunyi dan visual supaya anda berehat akan dipaparkan pada skrin berulang-ulang kali. 

Jadi, cara paling efektif adalah mematikan semua ciri ADAS yang tidak diperlukan sebelum memandu. Namun harus ingat bahawa semua sistem tersebut akan diaktifkan secara default. Maksudnya, setiap kali anda berhenti dan keluar dari kenderaan, ia akan kembali kepada tetapan asal.  

Selepas memandu selama beberapa hari hari saya boleh simpulkan bahawa C10 ialah sebuah SUV yang patut anda pandu uji dan rasai sendiri kelebihannya. Dengan tawaran harga cuma RM149,000 seunit sehingga 31 Disember 2024, SUV itu mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding kelemahan. 

Kalau tidak takkan lah kawan saya yang cerewet boleh kata dia suka dan tidak mustahil akan membeli sebuah C10. Senang dan selesa kalau nak tunggu anak habis kelas tadika katanya… 

GALERI

Google ads
Back to top button