Pandu Uji

PANDU UJI: JETOUR DASHING PREMIUM, PILIHAN BERBALOI?

Nama Jetour mungkin masih asing bagi sesetengah rakyat Malaysia, tetapi sub-jenama daripada Chery itu dilihat makin menarik perhatian ramai sejak akhir-akhir  ini. 

Antara model yang menjadi tumpuan ialah Jetour Dashing, SUV segmen C yang tampil dengan gaya berani, ruang luas dan harga yang cukup kompetitif. Tetapi, adakah jentera itu sepadan dengan hype yang diterimanya? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kami berpeluang memandu Jetour Dashing varian Premium dalam satu sesi pandu uji ke Sekinchan, Selangor.

Perjalanan pergi dan balik tidaklah terlalu jauh, sekitar 200km sahaja, namun ia tetap dapat memberikan saya gambaran jelas tentang kemampuan sebenar SUV berkenaan.

Sebut saja namanya, Dashing ramai yang teringatkan kepada jenama produk penjagaan lelaki (bedak, gel rambut dan sebagainya). Tahukah anda bahawa nama itu sebenarnya berasal daripada perkataan Mandarin “Da-Sheng” yang bermaksud “Monkey King”, tetapi untuk pasaran global, nama itu diubah agar lebih mudah disebut dan diingati.

Menariknya, rekaan Jetour Dashing adalah hasil sentuhan Hakan Sacoglu, bekas pereka Porsche Design. Jadi, tidak hairanlah jika bentuk luaran SUV itu cukup menyerlah dengan gril besar bersegi, garis badan dan lampu hadapan LED yang nampak futuristik. Ia nampak lebih mahal daripada harganya, sesuatu yang jarang kita lihat dalam segmen ini.

Masuk ke dalam kabin, satu perkara yang jelas, Jetour cuba membawa rasa mewah ala Mercedes-Benz. Reka letak skrin berkembar, suis pada  stereng serta kemasan bertekstur moden semuanya memberi rasa eksklusif.

Varian Premium juga didatangkan dengan material yang lembut disentuh di beberapa bahagian, menjadikan pengalaman duduk di dalamnya lebih menyenangkan, sama ada sebagai pemandu atau penumpang.

Ruang kaki dan kepala di baris kedua cukup luas untuk perjalanan jauh. Dengan penyandar tempat duduk boleh dibaringkan sedikit, ia menambah lagi keselesaan sesuai untuk membawa seisi keluarga balik kampung.

Jetour Dashing Premium dijana oleh enjin 1.5-liter turboc empat silinder, sama seperti yang digunakan pada Chery Omoda 5. Namun, perbezaan utama ialah transmisi — Omoda 5 menggunakan CVT, manakala Jetour memilih kotak gear DCT 6-kelajuan.

Enjin ini menghasilkan 156PS dan 230Nm, kuasa yang mencukupi untuk pemanduan harian. Ketika meluncur di lebuh raya ke Sekinchan, ia terasa lancar dan stabil. Namun ketika cuba memotong kenderaan berat, terasa sedikit kurang kuasa mungkin kerana penukaran gear yang agak perlahan.

Tambahan pula, kotak gear DCT itu kadangkala terasa sedikit jerky, terutama ketika memandu dalam kelajuan rendah atau di bandar. Ini adalah antara kelemahan kecil yang mungkin perlu diambil kira, terutama jika anda sering memandu di jalan-jalan sesak.

Sepanjang perjalanan pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Sekinchan, penggunaan bahan api yang direkodkan ialah sekitar 12.5 liter per 100km. Angka itu boleh dianggap sebagau sederhana bagi enjin turbo dengan berat SUV ini. Dengan pemanduan lebih berhemah dan tanpa beban penumpang penuh, penggunaan bahan api  mungkin boleh diturunkan kepada sekitar 10L/100km.

Satu aspek yang mengejutkan kami ialah pengendalian Jetour Dashing. Ia bukan sekadar cantik, malah sedap dipandu. Antara penyumbang utama kepada aspek tersebut adalah kerana SUV ini menggunakan suspensi multi-link pada roda belakang, berbanding sistem torsion beam yang biasa digunakan SUV sekelas dengannya.

Ketika di lebuh raya, olengan badan terkawal dan tidak terasa ‘mabuk darat’. Walaupun bukan sebuah SUV sport, mod pemanduan Sport menjadikan stereng lebih berat dan responsif — cukup untuk memberi sedikit ‘jiwa’ kepada pemanduan. 

Jetour Dashing juga berjaya menyaingi SUV lebih mahal dari segi kualiti NVH (Noise, Vibration, Harshness). Bunyi angin dan tayar mampu diredam dengan baik, menjadikan pemanduan lebih tenang dan memuaskan.

Meskipun dilengkapi dengan kamera 360 darjah, sensor parkir dan pemantauan tekanan tayar, Jetour Dashing tidak menawarkan ADAS penuh seperti brek kecemasan automatik (AEB), Lane Keep Assist atau Adaptive Cruise Control. Ye lah, harga pun dah murah takkan semua ciri nak kena ada kan?

Ditawarkan pada harga RM116,800 untuk varian Premium, Jetour Dashing menawarkan pakej yang sukar ditolak: gaya menarik, kabin luas dan selesa, pengendalian memuaskan dan reka bentuk yang tak nampak murah.

Walaupun ada kelemahan dari segi ADAS dan karakter transmisi DCT yang perlu diteliti, ia tetap satu SUV yang boleh mengubah persepsi orang terhadap jenama China.

Bagi mereka yang mencari SUV segmen C pada harga segmen B, Jetour Dashing harus ada dalam senarai anda.

Spesifikasi Jetour Dashing Prime:

  • Enjin: 1.5L turbocharged 4-silinder
  • Kuasa: 156 PS @ 5,500 rpm
  • Tork: 230 Nm @ 1,750-4,000 rpm
  • Transmisi: 6-kelajuan DCT
  • Panjang: 4,590mm, Lebar: 1,900mm, Tinggi: 1,685mm, Jarak Roda: 2,720mm

GALERI

Google ads
Back to top button