Buletin

“INI MONSTER!” – VW UMUM GOLF GTI ELEKTRIK BAKAL LETUPKAN PASARAN!

Volkswagen (VW) sah akan melahirkan semula model ikoniknya, Golf GTI, dalam bentuk serba elektrik.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif jenama itu, Thomas Schäfer, yang menggambarkan versi elektrik model legenda itu sebagai sebuah “monster” sebenar.

Dalam satu temubual eksklusif bersama AutoExpress, Schäfer mendedahkan bahawa pelancaran rasmi model berkenaan disasarkan menjelang penghujung dekad ini.

“Menjelang penghujung dekad, kami akan memperkenalkan Golf elektrik,” katanya. “Dan ia akan menjadi kereta monster. Saya sangat gembira dengan perkembangan semasa. Ia sangat mengujakan. Anda boleh menjadikannya menarik, ia mesti menarik, dan ia perlu asli.”

Kenyataan itu nyata melegakan ramai peminat tegar dunia automotif, khususnya golongan ‘purist’ yang sering menganggap jiwa dan semangat sebuah jentera terhakis apabila beralih kepada kuasa elektrik.

Namun, pengalaman pemanduan EV berprestasi tinggi seperti Hyundai Ioniq 5 N telah membuktikan bahawa kereta elektrik juga mampu menghidangkan sensasi mengujakan, dengan lontaran kuasa mengejut, bunyi simulasi, getaran, serta karakteristik unik yang menjadikan pengalaman itu lebih daripada sekadar senyap atau sifar emisi.

Walaupun ramai mungkin merintih agar VW membangunkan sistem transmisi manual, sama ada benar-benar mekanikal atau hanya simulasi untuk Golf GTI elektrik ini, hakikatnya model GTI generasi terkini sendiri telah pun menggugurkan kotak gear manual pada tahun lalu.

Maka, ‘kehilangan’ transmisi manual dalam versi EV nanti bukanlah satu kejutan besar.

Menurut sumber dalaman industri, Golf GTI elektrik (digelarkan sebagai Golf EVI) dijangka akan dibina di atas platform SSP (Scalable Systems Platform), iaitu arkitektur modular baharu.

Platform ini akan menjadi asas kepada kenderaan elektrik dari hatchback prestasi tinggi hinggalah SUV, dan dijangka debut seawal tahun 2029.

Walaupun tiada butiran lanjut tentang reka bentuk, output kuasa mahupun prestasi diumumkan buat masa ini, satu perkara pasti, VW sedang merancang untuk memastikan GTI kekal sebagai simbol keseronokan memandu, walaupun dalam era elektrik.

Jika apa yang dilakukan oleh Hyundai terhadap Ioniq 5 N menjadi petunjuk, maka VW tidak mustahil akan menyalurkan DNA GTI dengan cara baharu yang mengujakan dan sesuai dengan kehendak masa depan.

Bagi para peminat GTI dan pengikut setia VW, dekad akan datang menjanjikan satu transformasi besar dan jika Schäfer tidak berlebih-lebihan, GTI elektrik bakal menjadi antara EV paling menggugah adrenalin di jalan raya nanti.

Google ads
Back to top button